Kuasa Penentu 40 Kerusi Parlimen

966

Oleh : KAM

MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab parti itu mewujudkan kuasa pemerintahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini meski pun jika PAS hanya menang dengan 40 kerusi Parlimen.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata walaupun PAS tidak boleh menguasai kerajaan pusat tetapi dengan 40 kerusi parti itu mampu mempengaruhi kerajaan tersebut.

Menurutnya, jumlah minima kerusi bagi mana-mana parti menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan adalah 112 kerusi.

“Tanggungjawab kita (PAS) untuk mewujudkan kuasa pemerintahan ini. Dalam masa yang sama kita kena kuasai kerajaan pusat dan kalau boleh menguasai kerajaan pusat. Jika tidak boleh kuasai kerajaan pusat, (kita) boleh mempengaruhi kerajaan pusat.

“Jika kita (PAS) boleh 40 kerusi di Parlimen. Kerajaan tidak boleh nak tubuh melainkan dengan bergantung kepada 40 kerusi ini. Walaupun orang (parti) lain ada 100 kerusi, 80 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan kena ada minima 112 kerusi. Parti-parti (lain) tak mampu nak dapat 112 kerusi.

“Jika ada 40 kerusi, bermakna kita (PAS) akan menjadi tempat kebergantungan siapa yang nak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini kita (PAS) ada pengaruh dan boleh minta macam-macam. Dengan 40 kerusi ini, kita boleh tarik sokongan (dan) jatuh siapa dia, naik siapa dia.

“Ini dari segi politik yang kita kena faham. Walaupun dengan 40 kerusi, kita tidak majoriti tetapi dengan 40 kerusi itu kita boleh menentukan kerajaan, Insya’Allah,” tegasnya ketika berucap pada majlis Pelancaran Dana RM1 Juta ke Wisma Darul Iman di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Katanya, pada pilihan raya kali ini ada kemungkinan mana-mana parti tidak mampu menubuhkan kerajaan sendiri jika tidak mendapat 112 kerusi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mahukan kerusi yang lebih banyak mesti dimenangi di kawasan majoriti Islam seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Insya’Allah, hari ini kita (Terengganu) melancarkan tabung derma untuk pilihan raya. Bagi Terengganu, kita (PAS) nak kerusi kita lebih sebab Terengganu ini tempat majoriti orang Islam.

“Kerusi Terengganu, kerusi Kelantan dan kerusi Kedah kena banyak (menang). Jadi asas kepada 40 kerusi (Parlimen) itu akan ditambah oleh negeri-negeri yang lain,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang dan Timbalannya, Yahaya Ali serta Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Kempen Dana 1 Juta ke Wisma Darul Iman itu bermula 12 Januari hingga 23 Februari 2018 sebagai persiapan PAS Terengganu menghadapi PRU14 bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lapan Parlimen.