Kos Makan Untuk Pelajar Universiti RM600 Sebulan!

487

Oleh : Suhaimi Taib

Seorang sahabat selepas satu mesyuarat parti semalam mengadu bahawa anaknya merungut makanan di kantin universiti semakin mahal.

Bayangkan sehari anaknya kena sedia RM20 untuk makan pagi, tengahari dan petang. Jika sebulan pelajar berkenaan perlu menyediakan RM600. Itu jika seorang anak masuk universiti bagaimana beberapa orang anak masuk universiti?

Sudah pasti ibu bapa mereka perlu kos belanja besar untuk makan dan minum sahaja tidak termasuk keperluan pembelajaran dan sebagainya. BR1M tidak boleh membantu mengurangkan beban ibu bapa ini.

Kesimpulannya kehidupan rakyat Malaysia hari ini terdesak dan tersepit dengan kos sara hidup semakin mahal sedangkan pendapatan isi rumah tidak bertambah mengikut keperluan sepatutnya.

Pekerjaan semakin sukar diperolehi, ramai penganggur, rakyat tidak mempunyai kuasa beli yang kuat (Purchasing Power) untuk hadapi masalah ini.

Perancangan kerajaan dipercayai tidak berkesan untuk memastikan ekonomi negara dijana dengan sebaiknya.

Barangan import menjadi semaki mahal akibat kejatuhan nilai ringgit (RM). Barangan dapur yang kebanyakannya diimport dari luar, contohnya, bawang merah dan bawang besar dari India, lada burung dari vietnam dan ikan bilis dari Thailand, sekadar menyebut beberapa barangan import yang dibawa masuk ke negara Malaysia.

Harga ikan semakin mahal terutama musim bulan cerah. Kembong Sedan mencecah RM16 sekilo, Selayang Sedan RM10 sekilo dan ikan-ikan lain pun turut naik harga. Itu suatu kebiasaan harga ikan di situasi tersebut.

Tetapi jika waktu bukan gelap, waktu nelayan turun ke laut waktu malam, ikan masih lagi mahal kerana harganya turun sekadar seringgit dua sahaja.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Chik ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan tidak akan kawal harga ikan rakyat (ikan kembong dan lain-lain) melainkan tiga bulan sebelum dan selepas perayaan.

Katanya, kerajaan akan memantau supaya harga ikan rakyat tidak dinaikkan harga sesuka hati oleh peniaga.

Katanya, ketika musim ikan banyak kerajaan menggalakkan pihak yang berkaitan menyejukbekukan ikan rakyat dan dikeluarkan ketika musim kekurangan ikan.

Saya perhatikan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah lama mempraktikkan kerja ini.

Ikan sejuk beku biasanya harga berpatutan. Untuk tangkap ikan secara pukal dan banyak, perlukan bot yang besar dan memakai tenaga kerja yang ramai. Nelayan Pantai Timur hari ini tidak lagi gemar menjadi awak-awak bot pukat jerut bersekala besar atau bot laut dalam kerana bayaran gaji tidak setimpal dengan kerja keras mereka. Seminggu sekali mereka balik ke darat. Ertinya seminggu mereka berada di laut untuk menangkap ikan.

Mereka beralih menggunakan bot sendiri diperbuat dari ‘fyber glass’ dalam erti kata mereka bekerja sendiri tidak lagi hanya menjadi penumpang kerja dengan bot milik taukeh-taukeh besar tempatan.

Dipercayai kebanyakan bot pukat jerut kekuarangan tenaga kerja dan kebanyakan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot pukat jerut sekarang, sudah banyak menghentikan operasinya antara lain akibat daripada permasalahan tersebut.

Taukeh-taukeh besar bot laut dalam menggunakan pekerja asing dari Thailand dan Vietnam untuk menjalankan operasi menangkap ikan di perairan Malaysia. Seringkali mereka berhadapan dengan masalah imigresen dan penyeludupan dadah.

Ramai nelayan merungut perairan Terengganu semakin kekurangan ikan dipercayai akibat aktiviti bot laut dalam.

Ini pun satu faktor kenapa ikan di Terengganu lebih mahal jika dibandingkan Pasar Selayang di Selangor. Ikan bot laut dalam tidak sesegar yang diharapkan kerana operasi di laut memakan masa selama seminggu. Ikan disejukbekukan selama seminggu di laut.

Ikan di Pasar Borong Pulau Kambing, Kuala Terengganu, tidaklah semurah lima atau 10 tahun lalu yang mana ada ikan yang dapat dibeli dengan harga RM3 sekilo. Sekarang untuk dapatkan harga borong seumpama itu amat sukar. Harga ikan Selayang Kecil sekarang di waktu ikan banyak RM5 sekilo tidak kurang dari itu.

Ini situasi harga makanan terutama ikan di Terengganu, bayangkan bagaimana pula harga ikan di negeri lain, sudah pasti lebih mahal kerana ikan di pantai timur di jual di luar Terengganu dan juga di Singapura.

Nampaknya kerajaan Malaysia gagal memastikan harga barangan keperluan rakyat di bawah harga yang stabil dan masih murah kerana kerajaan membiarkan urusan harga dimanipulasikan berdasarkan harga pasaran.

Peniaga terpaksa menaikkan harga barangan mereka terutama barangan import kerana harga barangan import dan kos pengangkutan pun sudah meningkat, mereka tidak boleh bertahan dengan harga sebelum ini.

Inilah suasana tidak kondusif ekonomi Malaysia akibat kerajaan tidak boleh lagi mengawal RM dari jatuh merudum berbanding dengan nilai mata wang asing.

Kenapa kebanyakan mata wang negara lain stabil, kenapa nilaian mata wang RM tidak stabil? Kerajaan perlu bertindak sesuatu supaya ekonomi negara tidak semakin parah akibatnya rakyat menanggung derita dengan kenaikan kos sara hidup ini.