Kisah Duka Di Kem Pelarian

255

Oleh : Khalid Abdullah

COX BAZAAR, Bangladesh – Kesempatan berada di bumi penuh berpaya, Bangladesh, bermula hari ini hingga 13 November, bersama Misi Bantuan Kemanusian PASRelief kali ke dua menyantuni muslim Rohingya di kem-kem pelarian sekitar bandar sempadan Cox’s Bazar, adalah sangat bermakna.

Buat pertama kalinya mata ini melihat sebahagian daripada ratusan ribu etnik Rohingya yang terpaksa berhijrah untuk mencari perlindungan.

Rasa sebak sempit di dada, mengenangkan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan beribu kilometer di tanahair tercinta.

Semenjak krisis memuncak bermula Ogos lalu, kini mereka memenuhi beberapa kem antaranya Kem Kutupalong, Balukhali dan Theinkali yang terletak hanya lima kilometer di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Keadaan di kem penempatan itu cukup daif dan kebetulan ketika di sana petang tadi, jelas dapat melihat gerombolan ‘pengungsi’ yang baru tiba.

Dengan wajah mereka yang penuh kepenatan, longlai tidak bermaya, berehat di tepi jalan di bawah panas setelah mengharungi bukit bukau, sungai dan lembah untuk sekurang-kurangnya perjalanan, tiga hari empat malam sebelum sampai ke tempat permukiman sementara itu.

Mereka terpaksa berjalan tanpa sebarang alas kaki, tanpa bekalan makanan dan minuman semata-mata mahu mengutamakan keselamatan diri dan maruah agama.

Majoriti masih terpingga-pingga, kebingungan seolah-olah tidak percaya kaki mereka berpijak di bumi aman dan bebas dari cengkaman kezaliman junta Myanmar serta pelampau Buddha yang tidak berhati perut.

Walaupun belum mempunyai penempatan hatta khemah untuk menumpang teduh namun di wajah mereka terpancar sinar di wajah untuk hari muka.

Yang jelasnya, petang yang semakin merangkak kepada senja dan malam yang bakal mereka lalui, dengan beratapkan bulan dan bintang serta tidur berlantaikan tanah.

Ratusan ribu lagi hanya berlindung di bawah rimbunan pokok di sebalik semak samun di dalam hutan.

Ada yang terbaring kepenatan terutama orang tua, wanita yang masih mengendong anak kecil dan kanak-kanak berjalan mundar-mandir mencari-cari jajan dari mereka yang mempunyai belas ihsan.

Antara pelarian yang ditemui ialah seorang wanita muda dalam lingkungan 30-an sambil meriba anak kecilnya yang seperti dahagakan susu.

Fatima (bukan nama sebenar) ibu yang kurus kering, menangis tersedu-sedu kesedihan, mengenangkan arwah suami yang baru mati terbunuh dua hari yang lalu dimuncung senapang askar rejim.

Begitulah, senario sepanjang sepetang KAMI memasuki Kem Kutupalong, Balukhali dan Theinkali yang saban hari menerima ribuan etnik Rohingya ke wilayah Bangladesh dengan seribu satu kisah duka………