Kerajaan Malaysia Digesa Lebih Serius Tangani Isu Rohingya

130

COX’S BAZAR, Bangladesh – Kerajaan Malaysia digesa lebih serius menangani isu Rohingya dan menekan pemerintah Myanmar bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai serta pembersihan etnik umat Islam itu.

Pengarah PASRelief Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerja-kerja kemanusiaan seperti melawat dan menyampaikan sumbangan serta janji mahu membina hospital, boleh dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“kerajaan sepatutnya boleh berperanan dan bertindak lebih daripada apa yang telah dibuat, kalau nak buat hospital sahaja, pihak NGO pun boleh buat,

“tidak ada tindakan diplomatik atau langkah-langkah menghentikan pengambilan tenaga kerja dari Myanmar serta memutuskan hubungan dagang dengan Myanmar bagi meningkat tekanan kepada pemerintah Naypiydaw,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengagihan 50 tan makanan kepada pelarian Rohingya di kem pelarian Balukhali pada Selasa, 14 November.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, yang kini sedang berada di sini bersama delegasi Misi Kemanusiaan Kelapan PASRelief, memberi ingatan agar pemimpin negara ‘tidak bermain wayang’ dalam isu Rohingya.

“mereka menzahirkan simpati kepada Rohingya tetapi pada masa yang lain mereka ‘berjabat tangan’ dengan pemimpin Myanmar,

“sebagai salah sebuah negara yang aktif dalam ASEAN khususnya dalam soal hak asasi manusia, namun tidak ada gesaan supaya Myanmar bertanggungjawab dan mengembalikan hak warganegara kepada Rohingya,” jelasnya.

Turut sama pada Misi kali ini ialah kepimpinan PASRelief Terengganu, diketua Pengerusinya Haji Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat YB Ariffin Deraman dan Setiasusaha PASRelief Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sehubungan itu, Ariffin berkata, belum nampak usaha secara serius yang diambil oleh kerajaan Malaysia atau pun negeri Terengganu, bagi menyelesaikan isu tersebut.

“walaupun ada mereka (kerajaan) menghantar Misi bantuan tetapi bagi sebuah kerajaan yang besar, sepatutnnya mereka lebih ‘sentimental’ lagi dengan isu ini,

“sepatutnya kerajaan Malaysia tegas berbincang dengan Aung San Su Kyi kerana Myanmar sebahagian daripada ASEAN, (kerajaan) boleh memberi tekanan ekonomi dan lain-lain yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rakyat tidak nampak apa-apa kesan daripada tindakan kerajaan Malaysia masakini.

“sehingga kini kita tidak nampak dengan jelas apa yang tindakan atau peranan yang diambil kerajaan, tindakan NGO adaah terhad ,

“sepatutnya kerajaan memberi tekanan yang kuat, sehingga akhirnya Myanmar akur dan mematuhi kehendak (masyarakat) antarabangsa…….untuk (dan) memastikan apa yang sedang berkalu ini tidak berulang,” ujarnya.