Kegembiraan Nur Syuhada

738

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah dan dari bahasa badan kelihatan begitu teruja apabila dimaklumkan bahawa kami dari Cawangan PAS Kampung Baru Kerteh datang berziarah untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau.

Itulah reaksi awal adik Nur Syuhada binti Alias, apabila dimaklumkan kedatangan kami sebaik sahaja selesai bersalaman.

Pada khamis lalu pihak Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) telah mengumumkan beliau sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU) paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 untuk negeri Terengganu.

Beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu dan mengalami masalah penglihatan sejak lahir berjaya memperolehi 5A dalam peperiksaan tersebut.

Beliau yang kelihatan begitu ceria sepanjang pertemuan itu menceritakan bahawa segala kekurangan diri dijadikan sebagai pembakar semangat.

“Rakan-rakan sekolah banyak membantu saya,mereka bacakan segala nota semasa ulangkaji pelajaran ” tambah Nur Syuhada lagi.

Beliau yang kini sedang mengikuti Program Diploma Tahfiz Al-Quran di Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Bharu bercadang menghabiskan pengajian di situ sebelum menyambung pelajaran peringkat ijazah di bidang perguruan.