Jaga-jaga, Penyakit Anjing Gila!

268

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Dilaporkan terdapat 55 ribu kes Anjing Gila (Rabies) berlaku seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakannya menyerang anak-anak yang berumur bawah 15 tahun.

‘Rabies’ adalah sejenis penyakit yang menyerang saraf manusia, termasuk otak. Punca kemasukan virus Rabies ini ke dalam tubuh manusia adalah melalui gigitan haiwan yang telah dijangkiti virus rabies. 99% kes ini merebak melalui gigitan anjing. Pun begitu Rabies boleh merebak melalui monyet, kucing, dan kelawar.

Apabila seseorang itu digigit oleh anjing gila, belaiu mempunyai resiko dijangkiti penyakit Rabies ini. Gejala awal rabies adalah demam, sakit kepala, lemas, tidak nafsu makan, mual serta timbul rasa nyeri dan nyilu pada bekas gigitan. Selanjutnya dapat diperhatikan gejala khas rabies lainnya iaitu hydrophobia (rasa takut terhadap air), sensitif terhadap cahaya, suara, mahupun angin.

Pengidap akan sering mengalami kejang, keluar air liur berlebihan, dan diakhiri dengan kelumpuhan. Mereka yang sudah dijangkiti virus rabies boleh membawa maut, biasanya setelah 4 – enam hari setelah gejala awal timbul. Jangkitan rabies yang menyerang anak lebih berat dibandingkan orang dewasa.

Kejadian kes Anjing Gila ini telah dilaporkan sejak sekian lama dalam negara tetapi agak terkawal dan kes berlaku agak terpencil. Pada 17 September lalu, 3 negeri Semenanjung Malaysia telah diistihar sebagai kawasan Penyakit Anjing Gila. Dengan kata lain mana-mana pesakit yang digigit anjing di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang perlu mendapat rawatan khusus.

Berikut adalah nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menghindari penyakit Anjing Gila ini:

Rawatan khusus

Antirabies Imunoglobulin (RIG) disapukan pada tempat luka dan tisu di sekitarnya.

Beberapa dos vaksin disuntik ke dalam kulit atau ke dalam otot (bergantung kepada jenis vaksin yang digunakan). Dos pertama mesti diberikan seawal mungkin selepas terkena gigitan dan dos terakhir dalam tempoh 28 hari sekiranya disuntik ke dalam otot atau 90 hari sekiranya disuntik ke dalam kulit.

– Pencegahan tetanus dan rawatan anti-bakteria (jika diperlukan)
– Elakkan menjahit atau menutup luka (kecuali jika tidak dapat dielakkan)

Pencegahan

Vaksinasi di gunakan untuk mencegah dari dijangkiti rabies

Disyorkan untuk: Semua individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan rabies dan pelawat kawasan endemik yang tidak mempunyai bekalan vaksin rabies.

Jenis vaksin: Vaksin moden (sel dikultur atau telur berembrio)

Bilangan dos: 3 dos, pada hari: 0, 7 dan 21 hingga 28 hari, disuntik ke dalam otot (1ml/dos) atau kulit (0.1ml/dos).

Dos tambahan : Selepas 1 tahun, dan setiap 5 hingga 10 tahun, bergantung kepada risiko pendedahan.

Kontra indikasi: Pernah mendapat kesan buruk yang teruk terhadap vaksin rabies.

Kesan sampingan: Kesan ringan di tempat suntikan atau seluruh tubuh.

Sebelum berlepas: Individu yang merancang untuk menginap lama atau melawat kawasan yang terdapat banyak kes rabies (hiperendemik) di negara-negara endemik disyorkan mendapat pencegahan rabies

Langkah berjaga-jaga

Elakkan memegang haiwan liar dan haiwan peliharaan yang sesat terutamanya anjing dan kucing di kawasan endemik.

Jika seseorang digigit oleh haiwan yang mungkin dijangkiti rabies atau berhubung kait dengan seseorang yang disyaki menghidap rabies, segera bersihkan luka dengan sabun dan air.

Selain itu, segera dapatkan rawatan doktor.