Isu Taman Ilmu; Dato’ Seri Idris Terkesan Dengan HARAP 3.5

3519

Saya ingin menarik perhatian rakyat Terengganu berkaitan dengan jawapan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh kepada isu yang dilemparkan oleh PAS Terengganu berkenaan projek Taman Ilmu yang terbengkalai bertahun-tahun dengan kos yang termaklum sebanyak RM300 juta dengan tambahan sebanyak hampir RM450 juta menjadikan RM750 juta wang rakyat telah disia-siakan.

Walaupun agak lambat memberikan maklum balas dengan isu ini, namun ia agak baik daripada terus mendiamkan diri terutama perasaan ingin tahu rakyat Terengganu membuak-buak apabila hampir dengan pilihanraya ini.

Isu ini sudah bertahun-tahun ditimbulkan oleh PAS Terengganu terutamanya di dalam Sidang DUN Terengganu namun, mengecewakan, apabila bermula ketika zaman pemerintahan Dato’ Seri Ahmad Said, hinggalah kepada zaman Dato’ Seri Ahmad Razif memegang tampuk pemerintahan Terengganu setelah DS Idris ditolak oleh tuanku Sultan Terengganu, kepimpinan mereka memilih untuk menolak soalan-soalan dari PAS berkaitan dengan Taman Ilmu ini.

Malah PAS telah menerbitkan buku isu-isu negeri Terengganu dan turut memasukkan isu Taman Ilmu ini sebagai isu utama.

Kini setelah DS Idris menuduh bahawa kerajaan Negerilah yang bertanggungjawab sepenuhnya diatas kegagalan projek itu dan bukan kementerian beliau, baharulah rakyat tersedar akan besarnya isu yang telah dilonjakkan PAS suatu ketika dahulu.

Ironinya, disebalik tuduhan kepada kerajaan Negeri, DS Idris mungkin lupa bilakah tarikh Projek Taman Ilmu ini dilancarkan dan bilakah pula beliau menjadi Menteri Besar Terengganu, iaitu sebagai individu yang bertanggungjawab sepenuhnya meluluskan projek ini.

PAS Terengganu amat yakin bahawa DS Idris terpaksa membuka mulut beliau setelah melihat kejayaan PAS mengumpul begitu ramai rakyat Besut di Program Harap 3.5 di Kampung Raja baru-baru ini, di kawasan Parlimen beliau dengan PAS menampilkan isu-isu secara terus kepada rakyat yang memberikan kesedaran kepada rakyat.

Bagi mempertahankan diri beliau agar kelihatan bersih, beliau menamakan kerajaan Negeri Terengganu sebagai pihak yang perlu menjawab persoalan ini walaupun idea projek ini adalah daripada beliau. Keberkesanan PAS dalam menyedarkan rakyat dengan isu-isu tidak dapat disangkal lagi.

DS Ahmad Razif juga kelihatan terkial-kial memberikan janji dan kemudian memperbaharui janji bagi Taman Ilmu ini beroperasi, bulan demi bulan, tahun demi tahun. Menghempaskan bebanan kepada DS Ahmad Razif, bukan sikap yang terpuji, apatah lagi projek itu buka kepunyaan beliau, namun, tindakan ini dari segi politik, boleh menyelamatkan survival politic DS Idris, apatah lagi DS Ahmad Razif yang kini terdesak mempertahankan kedudukan beliau. Akan tetapi, diatas semua hal ini, PAS mendesak DS Idris agar bertanggungjawab dengan kegagalan projek beliau ini.

PAS juga menunggu jawapan bagi isu-isu lain yang telah diketengahkan sejak beberapa tahun lalu dimana kerajaan menggunakan secara rakus wang rakyat Terengganu seperti Jertih Souq (RM70 juta), LPT2 (RM1.8 billion), Monsun Cup (RM1 billion), Stadium runtuh (RM300 juta) dan pelbagai lagi terutama semua projek yang runtuh di bawah pentadbiran DS Idris dahulu, tetapi PAS tidak dapat menjamin rakyat boleh bersabar setelah wang hak milik mereka dileburkan sebegitu rupa.

Saya selaku Ketua Penerangan PAS Terengganu ingin mengajak sekelian rakyat untuk terus mengikuti isu-isu semasa terutama isu negeri Terengganu melalui saluran rasmi PAS seperti Harakah, Buletin Online, Harap TV dan juga kenyataan-kenyataan rasmi dari pimpinan PAS sendiri. Semoga rakyat terus disedarkan dengan maklumat-maklumat terkini yang tepat dan benar insyaAllah.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
17 Jamadilakhir 1438 bersamaan 16 Mac 2017