Isu RM90 juta: Sampai Hari Ini Saya Menunggu Bukti…..

2197

Oleh : MNA

Doha, QATAR – Ahli Majlis Syura PAS Pusat, YB Dr Khairuddin Aman Razali mendedahkan bahawa beliau sememangnya ada berjumpa dengan seorang bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes 1MDB bagi mendapat bukti tuduhan PAS menerima wang 1MDB.

Namun kata beliau, semasa pertemuan itu, pegawai terbabit masih berkhidmat dengan SPRM dan beliau tidak mendapat apa-apa bukti yang nyata berkenaan wang 1MDB yang didakwa oleh sesetengah pihak telah diterima oleh PAS.

Beliau hanya mendapat bukti cakap dengar sahaja daripada bekas pegawai tersebut, tanpa beliau diberikan dokumen-dokumen terperinci dan yang jelas bagi mengukuhkan dakwaan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian di program bagi mengutip dana PRU PAS Terengganu bersama warga Malaysia di Al-Bayyan Garden House di sini pada 18 April.

Turut hadir bersama beliau ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang akan menjelajah di beberapa lagi negara Timur Tengah bagi program yang sama.

Menyentuh berkenaan persiapan PAS dalam PRU yang akan datang, YB Khairuddin optimis bahawa PAS akan lebih kuat jika berseorangan diatas beberapa faktor yang tertentu.

Antaranya ialah kekuatan PAS dalam merangka strategi adalah jauh lebih baik daripada semua parti-parti politik yang akan bertanding termasuk Umno.

Jelas beliau, PAS bukan hanya beretorik atau berteori sahaja tetapi sejak bertahun-tahun lamanya, PAS sudah menjalankan penyelidikan bagi menghadapi PRU nanti dan meminta ahli-ahli PAS agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan PAS.

Berikut adalah transkrip penjelasan beliau mengenai tuduhan PAS mendapat wang 1MDB ketika sesi soal jawab dalam program itu;

“Ya saya minta jumpa bekas pegawai SPRM kalau betul orang ini, orang yang (pegawai) sama yang dikata oleh Rafizi.

Dibentang kepada saya fakta, pertama dia kata pembangkang ni bodoh duk fokus 1MDB, patut fokus SRC.

1MDB tiada bukti kukuh, SRC ada bukti, bukti yang akan disiasat, boleh dibawa pada pandangan dialah, satu.

Yang kedua dia kata ketika dia belek fail, dia ternampak sepintas lalu satu cek atas nama salah seorang bekas pimpinan PAS.

Saya tanya cek tu brapa jumlah? Oh saya tak perasanlah, sekali imbas.

Tarikh bila? Tak perasan jugak, sekali imbas.

Nama tu confirm tak? Sekali imbas jawab dia.

Masa-mula disebut namapun dah tak berapa nak betul dah, peringkat awal.

Saya kata saya nak maklumat ni, saya nak pastikan siapa, saya minta data kat cek, duduk kat saya salinan dia.

Dia kata payah skit ustaz sebab salinan ni dah ada merata-rata.

Bila kita dah bubarkan pasukan penyiasat, kita bawa lari fail sembunyi.

Masa tu dia belum lagi bersara dari jawatan dia.

Saya kata carilah macamanapun sebab saya nak salinan tu kerana itulah bukti, kerana jika dia bercakap mulut itu baru tuduhan walaupun dia seorang pegawai.

Pegawaipun dia masih lagi bertaraf tuduhan.

Sebab itulah kaedah Islam, kaedah kita di Malaysiapun setelah dibhantar satu siasatan dihantar kepada satu lagi badan untuk menilai untuk buat tuduhan.

Bukan dia semestinya terlibat, jadi datangkan bukti

Sampai hari ni saya menunggu bukti itu belum sampai kepada saya,” Ustaz Khairuddin dipetik sebagai berkata.