Harapan Baru Atau Palsu…?

198

Dalam kempen PRU13 yang lalu, PAS Terengganu telah melaksanakan program bagi mengembalikan semula kerajaan PAS negeri Terengganu dengan mengadakan Program PAS Ganti Umno (PGU). Hasilnya alhamdulillah, dengan sokongan semua lapisan masyarakat, kita sama-sama telah berjaya memenangi sebanyak 15 kerusi DUN Terengganu.

Pada program persiapan PRU14 pula, hasil dari sambutan yang memberangsangkan kepada PGU, maka PAS Terengganu sekali lagi mengadakan program yang mendekatkan PAS dengan masyarakat dan kali program ini dinamakan, Program Himpunan Harapan Semua 3.1 (HARAP 3.1). Kali pertama diadakan di Telaga Daing, Seberang Takir pada 29 Januari lalu. Sambutannya sangat menggalakkan dan menggerunkan Umno kerana Seberang Takir adalah Dun MB Terengganu. Sehinggakan mereka terpaksa mereka cipta satu program yang tergesa-gesa bagi melawan HARAP 3.1 yang jaraknya hanya kira-kira beberapa ratus meter sahaja dari HARAP 3.1. Tetapi akhirnya dibatalkan.

Ribuan rakyat hadir dan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kerana menyakini PAS adalah satu gerakan Islam yang boleh diharap bagi mempertahankan hak rakyat Malaysia, khususnya rakyat Terengganu. Rakyat cukup yakin dengan Islam yang dibawa oleh rasulullah saw 1400 tahun yang lampau yang disambung oleh PAS. Rakyat telah memahami Islam hanya satu. Islam mengikut rodanya naik dan turun. Maka akan berbahagialah orang yang mengikut roda Islam itu. Islam itu tiada progresif, tiada hadhari, tiada liberal, tiada apa-apa ideologi yang mesti Islam ikuti. Sebaliknya ideologilah yang mesti mengikut Islam kerana Islam itu adalah tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.

PAS Terengganu telah terkedepan dalam membawa harapan rakyat untuk hidup dibawah pemerintahan Islam yang syumul. Jika ada dakwaan yang mengatakan bahawa ada gerakan harapan baru yang cuba diketengahkan, maka ianya ternyata ketinggalan. Dengan program yang telah berjalan serta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan akan datang Program HARAP 3.2 pula akan menyusul, maka harapan baru apa lagi yang mahu diketengahkan terutamanya di Terengganu. Adakah harapan untuk menang? Harapan untuk menang itu adalah harapan lama kerana sememangnya kita mahu menang, tetapi menang yang mengikut Islam. Dan jika kita kalah kerana ikut Islam, itu lebih baik daripada menang tetapi menjadi hamba kepada manusia. Apatah lagi jika manusia itu, manusia kafir yang melawan Allah? Jadi apakah harapan baru itu? Tiada harapan baru yang dijanjikan kecuali membuka “Harapan Baru” kepada Umno bagi mengalahkan PAS dengan bantuan mereka. Itu sahaja harapannya.

Cuma mungkin harapan PAS ialah agar berundurlah dengan cara terhormat jika mahu menubuhkan parti baru. Para ulamak PAS dituduh dan diratib akan ber”UG” dengan Umno, tetapi perangai kumpulan yang mengata itu juga tak ubah seperti Umno. Bagaimana? Ya sama macam Umno sebab Umno guna harta awam dan kerajaan bagi kepentingan kempen dan mempertahankan kuasa mereka dan Harapan Baru juga tanpa segan menggunakan aset PAS bagi memusnahkan PAS itu sendiri. Sedangkan infak harta atau derma itu untuk PAS bukan untuk parti luar. Apa agaknya beza dengan Umno?

Tetapi bukan itu yang kita mahukan, kerana besarlah harapan saya untuk kumpulan Harapan Baru ini untuk sama-sama kembali kepada perjuangan PAS dan jangan memecahbelahkan umat Islam yang akhirnya akan memberikan kemenangan kepada Umno. Dan marilah kita bina Islam yang sebenar-benarnya bukan Islam yang mengikut acuan ideologi manusia. Walahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
4 Syawal 1436 bersamaan 20 Julai 2015