Hanya Di Terengganu! Lembu Lepak Atas Jalan Raya

530

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Daging lembu segar di Terengganu lebih mahal dan sukar diperolehi berbanding Kelantan walau lembu di Terengganu lebih banyak kelihatan. Di LPT2 ada lembu, Taman Ilmu pun ada lembu.

Atas jalan raya pun banyak lembu berkeliaran di Terengganu jika nak banding dengan Kelantan. Fenomena lembu kena langgar kereta biasa saja kita jumpa setiap hari sepanjang jalan di Terengganu.

Di Kelantan, seorang penjual daging lembu segar yang saya kenali di Simpang 4 Binjai Kota Bharu boleh menghabiskan jualan 2 ekor lembu sehari. Datang pukul 10 pagi, hanya sisa tulang yang tinggal. Di Terengganu penjual mengeluh nak habiskan satu peha daging pun sakit.

Saya rasa kita di Terengganu berjaya dari segi pembiakan baka lembu dan teknik penternakan lembu secara lepas bebas. Mana ada lembu negeri lain yang boleh meragut rumput di kawasan institusi pengajian tinggi kecuali di Terengganu.

Mana ada lembu yang boleh santai di tepi lebuhraya, lepak sambil tengok kereta lalu-lalang kecuali di Terengganu!

Terengganu dikurniakan bumi yang subur dan tanah yang luas. Tapi Kerajaan yang ada sekarang gagal memberikan perhatian serius untuk memajukan industri ternakan secara terancang sekurang-kurangnya bagi menampung sebahagian keperluan daging dalam negeri.

Antara buktinya bagaimana Projek Kambing Kaprima di Telaga Papan Setiu kini hanya tinggal kandang dan semak samun. Gagal secara total walau jutaan ringgit telah dihabiskan.

Cara pemimpin Umno Terengganu bekerja, buat projek sikit terus sasarkan nak eksport hasil ke luar negara. Nafsu tak padan dengan kudrat. Sedangkan sasaran minima dalam negeri pun masih terlalu jauh.

Dengan keluasan tanah negeri kita yang masih banyak terbiar, kita yakin dengan mandat rakyat dalam PRU 14 nanti, PAS mampu memanfaatkannya bagi memajukan industri ternakan ini.