Dana Ta’awun PAS Relief Sasar RM 500 Ribu Untuk Rohingya

78

Oleh : Syamila Najman

KUALA TERENGGANU – Keadaan umat Islam Rohingya sangat kritikal dan PAS berasa sungguh dukacita dengan apa yang berlaku kerana jelas, ini adalah satu agenda pembersihan etnik.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Terengganu, Tuan Haji Yahya Ali berkata, Mereka telah diperlakukan dengan sebegitu dahsyat dan dinafikan hak sebagai manusia. Tiada penempatan dan keperluan asas seperti makanan, minuman, keperluan ibadat dan sebagainya.

“Aktiviti pembersihan etnik Rohingya terus berlanjutan dan sekarang hanya tinggal 500,000 orang sahaja. Sebahagian besar daripada mereka telah dibunuh dan sebahagiannya menjadi pelarian. Malah di sepanjang perjalanan ke tempat baharu, sebahagian daripada mereka telah mati,

“Mereka sebagai pelarian datang dalam keadaan sehelai sepinggang dengan pelbagai penderitaan yang ditanggung dan sangat memerlukan makananan, bekalan air bersih, penempatan, pelajaran dan keperluan ibadah,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Terengganu (DEMI) berkata demikian ketika diwawancara Harap TV dan turut siarkan secara langsung oleh Radio Internet PAS, Hijau.FM melalui slot Suara Dari Terengganu, Khamis, 12 Oktober, disini.

Menurutnya, keadaan di sana sangat menuntut satu tindakan pembelaan khususnya daripada masyarakat Islam.

“Alhamdulillah, ini adalah antara tanggungjawab yang perlu dan telah dimainkan oleh PAS Relief dan kami telah merancang untuk mengumpulkan sejumlah wang tunai sebanyak setengah juta bagi disumbangkan kepada saudara seIslam di sana,

“InsyaAllah jumlah yang dikutip nanti akan dimanfaatkan untuk menyediakan keperluan-keperluan yang disebutkan tadi,” jelas Haji Yahya.

Katanya lagi, yang paling utama sekarang adalah ‘shelter’ atau tempat perlindungan sementara untuk mereka berlindung dari terik panas dan hujan. Di samping itu, makanan dan bekalan air bersih juga akan diusahakan.

“Ini adalah isu kemanusiaan. Walaupun kita dipisahkan oleh sempadan geografi, tetapi mereka adalah saudara kita yang telah diperlakukan dengan begitu dahsyat. kita sebagai umat Islam lebih bertanggungjawab terhadap mereka,

“Di atas rasa kebertanggungjawaban inilah maka PAS Relief mengajak masyarakat untuk turut bersama mengambil tanggungjawab ini. Sumbangkanlah sekadar kemampuan masing-masing ke dalam satu dana yang telah ditetapkan iaitu Dana Ta’awun DPPNT (Maybank) dengan nombor akaun 563064115873,” seru beliau.