Beri Peluang Kepada PAS

536

Oleh : Zulshawal

DUNGUN – Pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diseru agar memberi peluang kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam pilihan raya umum (PRU) kali ke-14 nanti.

Ini kerana, kata Yang DiPertua PAS Kawasan YB Ustaz Wan Hassan Mohd Rami, parti itu telah membuktikan kecemerlangannya, menjuarai kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat selepas PRU kali ke-13 lalu.

“Saya mohon agar tuan dan puan memberi peluang kepada PAS Bukit Besi (dengan) pilih PAS dalam PRU14 nanti agar kerja-kerja kebajikan yang telah kami buat ini akan dapat ditambah jumlahnya,

“Dalam keadaan kami ketiadaan sumber kewangan (dan) ianya datang datang daripada sumbangan kawan-kawan, kita berjaya mengadakan pelbagai program termasuk majlis hari ini,

“namun, jika tuan puan memilih PAS dalam PRU akan datang, insya Allah program-program kita nanti lebih banyak dan lebih ramai penduduk yang akan menerima manafaatnya,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata demikian ketika berucap program penyampaian duit raya kepada anak yatim sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Besi, di Kampung Jerangau Sunia pada Sabtu 15 Julai.

“Tahun ini kita hanya mampu menyampaikan duit raya kepada anak yatim yang berusia 12 tahun ke bawah………saya mohon kita semua berdoa agar PAS menang supaya kita dapat menaikkan jumlah sumbangan,” jelas beliau.

Shubungan itu, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, lokasi majlis sambutan hari raya dipilih melalui pusingan kesemua Unit Peti Undai (UPU) yang berada dalam DUN tersebut.

“Tahun lepas di UPU Felda Jerangau telah menjadi tuan rumah, tahun ini UPU Nerang. Namun UPU lain tetap mengambil bahagian bagi menjayakan majlis kita ini,

“Ini adalah bukti kerjasama kami dalam jemaah PAS DUN Bukit Besi. Dan kerjasama ini bakal diterjemahkan dengan tuan puan dapat menerima lebih banyak manafaat jika PAS dipilih menerajui DUN Bukit Besi dalam PRU 14 nanti,” tegas beliau.

Lebih 1,000 orang hadir bagi meraikan majlis rumah terbuka tersebut dengan para tetamu, dijamukan gulai kawah daging kerbau serta juadah lain yang disediakan oleh ahli dan penyolong PAS.

Seramai 91 orang anak yatim bawah 12 tahun telah diraikan pada Majlis yang merupakan acara tahunan anjuran PAS DUN Bukit Besi.