Beri Mandat, PAS Akan Pulihkan Felda

375

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah ditubuhkan bertujuan untuk membasmi kemiskinan dengan melaksanakan projek-projek pembangunan tanah serta aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Felda yang ditubuhkan pada 1 Julai, 1965 itu, berjaya memberikan manfaat kepada rakyat khususnya golongan peneroka.

Namun setelah 50 tahun beroperasi, Felda tidak lagi berada dilandasan asalnya bahkan telah jauh tersasar dari matlamat asal.
Menurut Bekas CEO Koperasi Permodalan Felda (KPF ), Dato’ Sarchu Sawal, Lembaga itu mula hancur setelah wujudnya Felda Global Venture (FGV).

Sebelum FGV, badan berkanun yang ditubuhkan melalui parlimen, mula menyimpang apabila lahirnya beberapa syarikat di dalamnya sepeti Felda Holdings, Kumpulan Permodalan Felda(KPF).

Walaupun anak-anak syarikat itu dimajukan satu sama lain untuk membantu peneroka, namun ia tidak secara langsung menyalurkan faedah kepada nadi asal penggerak Felda itu.

Sekarang, katanya, Felda dan KPF sudah ‘hancur’ serta FGV sendiri sudah hancur.

Sarchu yang menentang FGV menyatakan tindakannya kerana kehilangan  wang sebanyak RM4 billion di dalam Felda.
“Felda Holding ada banyak, campur-campur ada RM6 billion……. agaknya (lebih kurang), KPF ada jugak RM1 atau RM2 billion, sekarang mana pergi?, ” soalnya.

Hakikatnya, penubuhan FGV adalah satu pembohongan terhadap rakyat Malaysia khususnya para peneroka yang ‘membanting tulang’.
Generasi awal peserta Felda berjuang untuk kemakmuran negara dan tanah air, menyambut seruan kerajaan.

Mereka meninggalkan kampung halaman, berhijrah dan membina kehidupan baru untuk membangunkan negara ini.

Ada diantara mereka yang kelaparan, kerana duduk di kawasan hutan, yang jauh dari pelbagai kemudahan.
Mereka ‘mengikat perut’ dan menggunakan ‘tulang empat kerat’ untuk menebas, menebang, membersihkan tanah dan menanam kelapa sawit, demi untuk negara tercinta.

Namun sebaliknya, apabila Felda sudah berjaya, kumpulan penguasa mengambil kesempatan ‘memerah keringat’ peneroka untuk mengaut laba dan keuntungan peribadi.

“Sesiapa yang tentang FGV, mereka tendang begitu saja, kerana (dianggap) memberi masalah kepada Isa Samad,” tambah Datuk Sarcu.

Semasa beliau menjadi Pengarah kawasan Felda di Johor Bahru, sering sahaja tetamu-tetamu dari luar negara yang kepingin mahu tahu cara Felda mentadbir, melibatkan pemindahan manusia dan pembangunan tanah.

Tapi sekarang tidak lagi, kerana Felda sudah jadi konglomerat dan peneroka masih ditakuk lama.

Oleh itu beliau yakin, sekiranya rakyat memberi mandat kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang, Felda akan dipulihkan.

PAS akan memulihkan Felda yang sudah hancur sekarang kepada matlamat penubuhan asalnya.

PAS dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, bukan sahaja mengkritik, tetapi sentiasa ingin mencari jalan penyelesaian.
Ia termasuk mengatur pertemuan Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahril Samad, bagi memastikan hak peneroka dan rakyat Malaysia tidak dikhianati.