Belajar Mengurus Ekonomi Negara Daripada Umar Abdul Aziz

293

Belajar dari Umar Abdul Aziz
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Penguasa di Madinah pernah membuat permohonan kepada Khalifah Umar Abdul Aziz untuk pembelian kertas. Setelah permohonan diluluskan, Umar berkata, “Persiapkan pena dan tulislah semua keperluan yang banyak sekali di atas satu kertas sahaja. Sungguh bukan menjadi keperluan kaum Muslimin untuk kamu mengutus surat kepadaku menggunakan banyak helaian sehingga membazirkan kertas milik Baitul Mal.”

Begitulah telitinya Umar Abdul Aziz mengarahkan para pegawai Baginda berusaha sekuat mungkin untuk berhemah dalam menggunakan dana negara. Sekeping kertas milik negara menjadi perkiraan kaedah penggunaannya oleh seorang khalifah. Kalau yang sekecil itu diperhatikan, maka apatah lagi urusan besar.

Di samping itu, Umar Abdul Aziz tidak pernah sama sekali menggunakan kemudahan milik negara untuk kepentingan peribadi. Pernah Baginda meminta pembantunya untuk dibelikan madu. Apabila diketahui madu tersebut dibeli menggunakan haiwan tunggangan milik awam, Umar memerintahkan supaya dijual madu tersebut dan hasil jualannya dikembalikan ke Baitul Mal.

Sistem yang diambil oleh Umar Abdul Aziz dalam isu penggunaan dana negara berasaskan keseimbangan pengagihan dana berdasarkan keperluan tanpa pemborosan dan perbelanjaan berlebihan yang tak masuk akal.

Sejarah menyaksikan bahawa keadilan kepimpinan Umar Abdul Aziz telah membuatkan situasi dalam negeri semakin aman dan stabil sehingga golongan penentang Khawarij berkata, “Sesungguhnya tidak layak bagi kita untuk memerangi dan bermusuhan dengan Umar Abdul Aziz.”

Suasana aman dan tenteram pada asasnya adalah faktor penyokong penting terhadap pertumbuhan ekonomi negara serta bertambah baiknya taraf kehidupan masyarakat miskin.

Dekatnya seorang Khalifah orang miskin dan kasihnya Baginda kepada rakyatnya yang lemah digambarkan dalam satu peristiwa. Suatu ketika datang seorang miskin dan terus berdiri di hadapan Umar lalu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya aku memiliki keperluan yang amat mendesak sekali akan tetapi kemiskinananku telah menghalangku untuk memenuhi keperluan tersebut. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban darimu atas keadaanku di akhirat kelak.”

Umar yang sedang berdiri memegang tongkat tidak dapat menahan sebaknya mendengar pengaduan tersebut sehingga air matanya turut membasahi tongkat yang dipegangnya. Lalu orang miskin ini diberikan dana sebanyak 500 Dinar untuk kegunaan dirinya dan keluarganya.

Isteri Khalifah Umar bertanya sebab yang membuatkannya selalu tidak dapat menahan diri dari menangis. Umar berkata:
“Sekarang aku telah mengambil alih urusan ummat Nabi Muhammad s.a.w. Namun aku harus memikirkan keadaan ummat yang fakir, kelaparan, yang sakit, yang tidak memiliki pakaian, yang dizalimi, yang terasing, yang lanjut usia dan yang memiliki ramai tanggungan. Aku benar-benar sedar bahawa Tuhanku kelak akan meminta pertanggungjawaban dariku atas kewajipan yang aku pikul terhadap mereka semua. Sudah pasti Rasulullah akan menjadi musuhku andai terbukti aku tidak mampu bertanggungjawab di atas kewajipanku sebagai khalifah. Aku sangat takut sekiranya Rasulullah memusuhiku dihari akhirat kelak. Kerana itu aku menangis.”

Kesedaran seorang pemimpin akan besarnya beban tanggungjawab yang dibebankan atas bahunya adalah bersandarkan hadis Rasulullah s.a.w “… setiap penguasa akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak atas kewajipan yang dipikul terhadap rakyatnya.”

Umar berulang kali mengingatkan pegawai bawahannya. “Sudah seharusnya bagi setiap rakyat mereka berhak memiliki sebuah tempat tinggal sebagai tempat istirehat, seorang pembantu yang dapat membantu urusannya, seekor kuda sebagai kenderaan dan peralatan rumah sebagai keperluan di tempat tinggalnya. Tapi jika dia memiliki hutang dan denda yang tidak digunakan untuk kemaksiatan, maka lunaskanlah hutang dan dendanya dari harta Baitul Mal.”

Khalifah Umar menambah lagi, “Barangsiapa yang menikahi perempuan sedangkan dia tidak memiliki apa-apa untuk melunaskan mahar pengantin wanita, maka berikan kepadanya dana dari Baitul Mal.”

Penggunaan kewangan negara secara berhemat ditambah dengan keadilan payung Khalifah menzahirkan keberkatan dan kestabilan di seluruh daerah kekuasaan Islam Kerajaan Umayyah hinggakan orang yang layak menerima zakat amat terhad sehingga orang kaya menuntut jalan penyelesaian bagaimana zakat mereka nak disalurkan. Yahya bin Saad, seorang pegawai Umar Abdul Aziz berkata: “Umar mengutusku ke kawasan Afrika untuk menyalurkan zakat kepada para penduduknya. Aku melaksanakan tugasku dengan mencari penduduk di sana yang miskin dan benar-benar memerlukan sedekah. Namun seorang pun tidak dapat ku temui sehingga akhirnya aku menggunakan dana tersebut untuk memerdekakan para hamba sahaya dari tuannya.”

Umar Abdul Aziz memerintah hanya dalam tempoh kira-kira tiga puluh bulan atau dua tahun setengah sahaja. Tapi Umar telah membuatkan rakyatnya yang kaya tercari-cari orang miskin penerima untuk diagihkan zakat.

Lantaran itulah ketika Jenazah Umar Abdul Aziz diusung melewati Kota Qisrin di Damsyik, paderi dan pendeta tertunduk lesu sambil menangis. Lalu ditanya: “Kenapa kamu menangis? Umar bukanlah orang yang seagama dengan kamu.” Paderi menjawab: “Aku menangis bukan kerana agamanya, tapi aku menangis kerana setitik cahaya telah hilang dari bumi ini.”