Belajar Daripada Umar Abdul Aziz – Siri 2

340

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Kewajipan bagi seseorang pemimpin untuk mengambil prihatin akan permasalahan rakyat bawahan walau serendah mana sekalipun taraf rakyat tersebut di mata manusia. Kebajikan itu bermakna kita hadir menyantuni ketika diperlukan. Saiz keperluan itu tak boleh diukur dari pandangan dan ukuran kita, tapi mesti diukur dari sisi penerimanya. Kecil bagi kita hakikatnya besar bagi orang lain.

Umar Abdul Aziz sebagai khalifah membuka pintu seluas-luasnya untuk mendengar sendiri pengaduan rakyat Baginda tanpa melalui perantaraan pegawai bawahan. Beliau memiliki kotak surat sendiri yang tidak boleh dibuka oleh sesiapa kecuali beliau.

Suatu hari Khalifah Umar menerima sepucuk surat daripada seorang wanita bernama Fartunah al-Sauda’. Fartunah hanyalah orang biasa yang tinggal di pendalaman Ghiza di Mesir. Sedangkan Khalifah Umar berada di Damsyik. Bayangkan jauhnya jarak antara Ghiza ke Damsyik serta kesukaran perhubungan ketika itu. Surat ini berisi keluhan tentang kebunnya yang kecil telah dimasuki pencuri sehingga ayam yang dimilikinya telah dicuri orang.

Setelah membaca surat ini, Khalifah Umar segera menulis surat balasan yang isinya memberi jaminan bahawa masalahnya akan segera diselesaikan oleh wakil Khalifah yang berada di Daerah tersebut. Dalam masa yang sama Khalifah Umar mengutuskan surat kepada Ayub bin Syurahbil, Gabenor Mesir bagi menguruskan masalah yang dihadapi Fartunah ini.

Ayub bin Syurahbil segera melaksanakan tugas setelah menerima surat tersebut. Dengan kudanya yang berlari kencang, beliau sampai di Ghiza lalu bertanyakan kepada orang ramai lokasi rumah Fartunah. Setelah berjaya ditemui, ternyata wanita ini seorang miskin yang wajib dibantu. Ayub bin Syurahbil menyampaikan pesan dan tugas dari Khalifah yang harus dilaksanakan.

Untuk itu, kebun yang tidak begitu luas milik Fartunah dibina pagar di sekelilingnya sehingga ayam yang dipelihara dapat diselamatkan dari dicuri. Beginilah prihatin yang begini besar dari seorang Khalifah kepada seorang rakyat biasa.

Khalifah menerima pengaduan tanpa protokol, lantas arahan terus diberikan oleh Khalifah kepada Gabenor. Sebagaimana Khalifah, Gabenor Mesir juga menerima arahan tanpa protokol dan beliau sendiri yang bertindak melaksanakan arahan Khalifah dengan segera.

Suatu gambaran bagaimana pemerintahan Umar Abdul Aziz memiliki sistem penyampaian maklumat kerajaan yang cekap dan efisien. Tentunya amat malang dalam dunia teknologi maklumat yang serba canggih ini, rakyat bawahan yang memerlukan bantuan terpaksa berulang kali mengadap pemimpin tetapi akhirnya tetap pulang dengan kehampaan.

Bukan mudah nak jumpa dengan seorang pemimpin besar dizaman serba moden ini. Kena lalu melalui orang bawah tiga empat lapis belum tentu boleh jumpa. Setakat terima surat dari seorang Mak Cik pelihara ayam di hujung kampung, tak ada pemimpin besar yang nak layan pun!