Baru Dua Hari Lepas Dia Mengiringi Saya…..

2913

Oleh : Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Ketika kuliah mingguan pagi Jumaat hampir saya tamatkan sekitar jam 10.50 pagi tadi, pembantu saya menghantar nota bertulis; Khairul Nizam Abdullah@Kailo baru sahaja kembali ke Rahmatillah. Berita yang agak mengejutkan. Demikianlah kematian, masa kehadirannya tidak terjangka.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Kailo baru dua hari lepas mengiringi saya menziarahi beberapa keluarga susah dan sakit di Gong Kijang, Dun Bukit Tunggal. Beliau membuat rakaman langsung di FB PAS Dun Seberang Takir sepanjang sesi ziarah tersebut. Moga ia menjadi sebahagian penutup amalan soleh dihujung usia beliau.

Saya membaca satu artikel beliau yang menarik bertajuk “Aku Ingin Masuk Syurga Dengan Tulisan”. Kata beliau:
“Ya Allah … aku nak buat kerja dalam PAS ni sehingga nafas aku yang terakhir … berilah aku suatu tugas dalam PAS agar dapat aku tunaikan cita-cita aku”.

Beliau aktif menulis dalam web berita Buletin Online. Pada usia 43 tahun beliau pergi meninggalkan seorang isteri yang juga aktivis media dakwah seperti beliau. Moga segala kerja bakti usaha dakwah menerusi media selama ini menjadi amalan soleh berpanjangan buat beliau.

Lebih menarik lagi perumpamaan beliau tentang karam di lautan dalam kayuhan ke pulau mutiara yang diibaratkan oleh beliau sebagai mati syahid. Beliau mahu mati syahid karam di laut dalam kayuhan ke pulau mutiara….dan hari ini beliau pergi ke rahmatillah sebelum sampai ke pulau mutiara… moga hasratnya dimakbulkan oleh Allah.

Sangat indah tulisan beliau yang meruntun jiwa meskipun tidak berpendidikan menjulang ke menara gading. Ia wajar dibaca oleh mujahid Islam. Baca di pautan berikut: http://buletinonline.net/v7/index.php/aku-ingin-masuk-syurga-dengan-tulisan/

Marilah kita doakan keampunan dan kerahmatan untuk beliau. Pada yang berkesempatan, marilah bersama-sama mengiringi jenazah beliau dengan solat Janazah selepas Asar nanti di Masjid Bukit Tok Beng, Seberang Takir.