Bajet 2018 ; PAS Tegas Dengan Keputusan Berkecuali

752

KUALA TERENGGANU – Walaupun Bajet 2018 tetap akan lulus sama ada parti pembangkang menolak ataupun berkecuali, PAS tetap dengan keputusannya untuk mengambil sikap berkecuali.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Malaysia, Dr Azman Ibrahim berkata, menyokong atau menolak, itu adalah keputusan untuk menzahirkan pendirian masing-masing parti kepada umum.

“Kita tahu Barisan Nasional (BN) memiliki majoriti dalam parlimen dan semua ahli parlimen BN wajib akan undi sokong untuk Bajet 2018 diluluskan,

“Tak akan ada ahli parlimen BN yang bertindak memencilkan diri buat keputusan sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan facebooknya, selasa, 14 November 2017.

Menurutnya, mustahil pembangkang akan menang dalam undian di Parlimen sekarang kecuali suatu keajaiban pelik berlaku.

Contohnya, kata Dr Azman tiba-tiba 100 orang ahli Parlimen BN kena cirit-birit dan tak dapat hadir masa pengundian dibuat!

“Saya tak nak bincangkan apa yang akan berlaku andai Bajet 2018 ditolak oleh parlimen sebab itu hanya mimpi dan ilusi dalam kedudukan sekarang di parlimen.

“Macam mana kita nak bincang andaian Bajet 2018 ditolak sedangkan kita adalah minoriti? Itu perbincangan yang membuang masa sahaja,”ujar beliau.

Beliau menambah, berkecuali PAS tak menambah atau mengurang apa-apa dari segi kelulusan Bajet.

“Nak tolak, tak dinafikan dalam Bajet tersebut ada yang baik dan bermanfaat kepada rakyat,

“Nak sokong, ada juga dalam Bajet itu yang tak baik untuk rakyat dan negara,” kata beliau.

Sama juga kata beliau bahawa tindakan Pakatan Harapan (PH) menolak Bajet juga tak mengurang dan menambah apa-apa.

“Tapi nampak sedikit tak cerdik bila kita undi tolak Bajet sedangkan pelbagai peruntukan yang diumumkan dalam Bajet kita ambil juga,”tegas Dr Azman.