Amerika Perlu Belajar Apa Erti Baitul Maqdis

259
Universiti Baghdad

Pernah saya tanya sahabat sekelas saya di Universiti Baghdad dulu, Ala’ Abdullah Hamdan, seorang anak muda Palestin.

“Sampai bila kamu sanggup menentang Israel?”

Jawab beliau, “Sehingga hari kiamat!”

“Bagaimana nanti kalau di Palestin tiada lagi pemuda-pemuda yang bersedia untuk tampil ke medan jihad?” Tanya saya sekadar untuk menguji.

“Azman! Allah akan memelihara orang yang berjuang mempertahankan bumi suci ummat Islam! Kalau Israel berjaya membunuh 100 orang pemuda kami, ibu-ibu Palestin akan melahirkan 200 orang lagi bayi yang akan membesar sebagai anak muda yang bersedia untuk berjihad!” Tegas sahabat saya ini dengan penuh yakin.

Dengan penuh bangganya sahabat saya ini menunjukkan gambar abangnya yang tersimpan kemas dalam dompetnya. “Ini abang saya, As Syahid Marwan. Seorang anggota Briged Al Qassam. Semoga Allah merahmatinya. Dia telah pergi sebagai seorang syuhada di hujung senjata Israel.”

Selepas menghabiskan pengajian pada tahun 1999, saya pulang ke Malaysia dan sahabat saya ini balik bertugas ke Hospital Gaza. Pernah juga dia menyuarakan hasrat supaya saya tolong carikan peluang kerja di Malaysia memandangkan keadaan hidup yang sukar di Gaza.

Sebaris pesan saya ingatkan beliau. “Sahabatku, awak berada di satu lokasi bumi jihad yang sangat mulia. Jangan tinggalkan bumi jihad itu. Saya dan saudara di Malaysia akan bantu awak selagi kami terdaya.”

“Allahu Akbar! Terima kasih saudaraku kerana mengingatkan saya.”

Donald Trump tentunya tak tahu apa itu erti semangat jihad yang dimiliki anak-anak muda HAMAS dalam Briged Al Qassam. Sebab itu Presiden Amerika ini berani membuat tindakan yang sangat bodoh dengan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

Tindakan yang akan menyalakan api yang berkobar di bumi jihad ini. Trump akan dapat saksikan sendiri bagaimana tindak balas yang akan bangkit dalam masa terdekat. Mr Presiden Amerika perlu belajar apa erti Baitul Maqdis bagi ummat Palestin dan Ummat Islam.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
7 Disember 2017