Amba tahu doh…….

3139

Oleh: Wan Sukairi Wan Abdullah

Pagi tadi selepas selesai urusan di Pejabat Tanah Kuala Terengganu dan pejabat Pesuruhjaya Sumpah untuk urusan pindah milik tanah yang diwakafkan kepada pemegang amanah bersama Ustaz Mohd Soud Said , saya pulang ke pejabat di Taman Sri Intan. Sebaik tiba kelihatan 2 orang wanita sedang menunggu di hadapan pejabat saya. Seorang ibu pertengahan 30an dan seorang lagi akhir 50an. Mereka berdua biasa datang ke pejabat dan saya tahu tujuan kedatangan mereka itu.

Sebaik saja saya keluar dari kereta, mereka terus menyapa saya. Sebaik menjawab sapaan dan melihat wajah mereka berdua fikiran saya terus teringatkan Muhadharah yang di sampaikan oleh Syeikh Mutawalli Syaarawi ketika mana dia menceritakan tentang suatu soalan yang pernah di tanya oleh seorang sahabat kepada Saidina Ali RA tentang bagaimanakah kita mahu mengetahui samaada kita tergolong daripada AHLI DUNIA atau AHLI AKHIRAT ?

Jawab Saidina Ali RA, jika datang kepadamu seseorang yang ingin memberikan sesuatu kepada mu dan seorang lagi datang untuk mengambil sesuatu dari mu, jika kamu lebih gembira dengan orang yang memberi daripada orang yang meminta, maka ketahuilah kamu tergolong dalam kalangan ahli dunia, manakala jika kamu lebih gembira dengan orang yang meminta daripada orang yang memberi sesuatu kepada mu, maka kamu tergolong daripada kalangan ahli akhirat.

“saya takdok pitis seseng ustaz, saya nok mintak pitis sikit ustaz, nok wat belanja makan anak anak. Sari dua ni takdok keja ustaz ” laju kata kata ibu 30 an itu mengejutkan lamunan saya pada kisah Saidina Ali RA tadi.

Wanita itu ada 9 orang anak. Suaminya sekarang terlantar sakit. Penyakit doktor tanpa tauliah. Dia seorang saja bekerja, ambil upah lipat kain dan bersih rumah orang.

“tadi saya bagi RM2 je ke anak wat bekal gi sekoloh, ustaz, anak kata petang baru balik mok, dok cukup ni, saya kata nok wat guana, mok takdok pitis,” ujar ibu itu tanpa berselindung. Saya teringat anak saya di bekalkan 3 kali ganda.

“ssiang ngat dia ustaz, tadi dia pinjam pitis saya RM10 wat isi minyak motor nok mari ssini, ngeret motor kat sekilo kih minyak takdok ustaz,” sambung makcik 50an yang datang bersamanya.

“saya nok gok pitis ustaz, cucu saya sakit, nok wat gi klinik. Gi doh maidam tapi payah ustaz eeehhh, beri aahhh ssaya sikit ustaz,” sayu suara makcik yang datang bersama.

Saya teringat pada malam tadi saya di beri “surat cinta” selepas kuliah di Masjid Banggol Donas. Ada dua keping surat didalamnya. sekeping telah saya guna, Saya ambik baki 1 keping lagi dan serahkan pada ibu tadi sambil berkata “bbagi dua orang deh ”

“terimakasih bbanyok ustaz,” kata mereka berdua.
“sama sama kasih,” jawab saya…

Sebaik kelibat mereka hilang dari pandangan, saya termenung dan mengingatkan kembali kata kata Saidina Ali RA tadi. Saya tidak boleh menipu diri saya sendiri akan perasaan saya sebenarnya pada awal sekali ketika melihat mereka berdua.

Saya telah ada jawapan tentang dimanakah saya tergolong…

Mudah mudahan Allah swt ampunkan saya dan memberi peluang lagi kepada saya untuk terus berusaha mengubah diri yang lemah ini…

Amin………