Amanat Tuan Guru Gariskan Batas Iman Dan Kufur

214

oleh : Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Amanat Tuan Guru Hj Hadi adalah sedutan ceramah beliau pada 7 April 1981 di Kg. Banggul Peradong, Parlimen Kuala Nerus.

2. Isi kandungan Amanat tersebut selaras dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah kerana ia menggariskan batas-batas iman dan kufur, konsep Amar Makruf Nahi Mungkar dan menjelaskan kewajipan menegakkan undang-undang Islam menggantikan undang-undang Jahiliyah sebagaimana firman Allah

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Adakah hukum perundangan Jahiliyah yang mereka cari? Dan siapakah lagi terlebih baik hukum perundangannya berbanding Allah bagi kaum yang sentiasa yakin”.
Surah al-Maidah ayat 50.

3. Imam Ibnu Kathir, seorang tokoh Tafsir membuat contoh perundangan Jahiliyah itu ialah seperti perundangan yang digunakan oleh pemerintah Tatar yang merupakan hasil gabungan undang-undang Nasrani, Yahudi dan Islam apabila mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Abbasiyah dan menjajah Baghdad pada pertengahan kurun ke 7 hijrah.

Kemungkaran Mengekalkan Undang-undang Jahiliyah

4. Amanat Tuan Guru Hj Hadi menjelaskan sebab pertembungan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar iaitu PAS dan Umno pada ketika itu tahun 80 an iaitu antaranya kerana mengekalkan undang-undang Jahiliyah bercanggah dengan Islam.

5. Ia menggerakkan pendokong PAS untuk berdakwah menjelaskan kewajipan menegakkan undang-undang Islam dalam negara. Hasil dakwah yang panjang, pada hari ini selepas 36 tahun Amanat itu, masyarakat semakin faham kewajipan mereka menegakkan undang-undang Islam dalam semua aspek kehidupan. Malah ahli dan sebahagian pimpinan parti Umno juga mula berbicara tentang perundangan Islam.

6. Kata-kata menghina perundangan jenayah Islam yang boleh merosakkan akidah seperti “habislah tangan orang Islam dipotong sekiranya dilaksanakan Hudud” semakin menyepi dan sudah ditolak oleh masyarakat Islam hari ini.

7. PAS menerusi kuasa yang ada telah menggubal undang-undang jenayah Islam di Kelantan pada 1993 dan di Terengganu pada 2002 bagi menegaskan kewajipan menegakkan perundangan Islam dalam aspek jenayah yang diabaikan oleh pemerintah umat Islam.

8. Pada hari ini lahir para peguam muslim yang mengajak rakyat mentafsirkan kembali peruntukan perlembagaan “Islam Agama Persekutuan” dengan roh Islam dalam usaha menegaskan kedaulatan Islam dalam negara ini.

9. Ia selaras dengan apa yang selalu disebut oleh Presiden PAS iaitu keperluan mentafsirkan perkataan Islam dalam perlembagaan itu sebagai “ad-Din” yang mencakupi semua keperluan hidup dan bukannya mentafsirkannya menurut tafsiran penjajah iaitu Islam sebagai agama untuk amalan ritual sahaja.

Politik Suku Agama Suku

10. Dalam Amanat tersebut juga Tuan Guru Hj Hadi menyebut: seorang muslim tidak perlu menjadi Hindu atau Budha atau masuk Yahudi atau Nasrani tetapi boleh menjadi kufur dengan menyatakan politik suku agama suku. Ia adalah penjelasan terhadap konsep batas-batas iman dan kufur dalam Islam.

11. Kenyataan ini sangat tepat dengan prinsip Islam kerana Islam tidak boleh dipisahkan dengan politik pemerintahan. Malah Nabi (saw) dan sahabat kanan yang empat iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radiyallahu anhum menjadi pemerintah dan Khalifah Islam, berpolitik memerintah negara Islam Madinah.

12. Pemikiran “politik suku agama suku” adalah pemikiran songsang barat hasil pertembungan antara ahli politik dengan gereja di Eropah, lalu lahirlah ungkapan terkenal “biarkan apa yang menjadi milik raja kepada raja dan apa yang menjadi milik Tuhan kepada Tuhan”.

13. Demikianlah Amanat itu telah menyumbang untuk membetulkan kefahaman masyarakat terhadap batas-batas iman dan kufur serta kewajipan menegakkan Islam sebagai asas perundangan negara.

Amanat Punca Tragedi Memali?

14. Ada pula pihak secara sembrono menuduh bahawa Amanat ini adalah punca kepada berlakunya tragedi berdarah di Memali pada tahun 2015.

15. Suka saya tegaskan bahawa isu Memali berlaku bukan kerana Amanat itu tetapi kerana kerakusan penguasa pada ketika itu untuk mengekang pengaruh PAS dalam masyarakat yang dianggap sebagai ancaman kepada kuasa mereka.

16. Suara Islam dan tiupan kesedaran beragama dan berpolitik memperjuangkan Islam di kalangan rakyat pedalaman seperti Baling khususnya Kg. Memali dianggap sebagai satu ancaman bagi penguasa yang tidak mesra dengan pendekatan Islam pada ketika itu. Lalu berlakulah tragedi berdarah yang masih misteri sebahagian perincian peristiwanya sehingga ke hari ini. Oleh kerana itu PAS menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi merungkai peristiwa ini.

17. Saya juga menggesa kerajaan memberikan peluang kepada Presiden PAS untuk menjelaskan Amanat tersebut di media perdana kerajaan seperti RTM dan TV3 agar rakyat dapat menilai hakikat sebenar intipati Amanat tersebut.

***Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus