Ditulis pada: Thu, Jan 12th, 2017

Ada Apa Pada PAS – Bahagian Akhir

Share This
Tags

7-Wala’:

Inilah senjata paling ampuh PAS dalam menjayakan misi dakwah, politik dan juga kebajikan di Malaysia. Sebutlah apapun, gelarlah apapun namun wala’, tidak dapat dinafikan adalah satu keperluan terpenting dalam berjemaah. Mereka yang mengatakan bahawa wala’ itu candu hanyalah kerana mereka dengki dan gagal menembusi pertahanan PAS ini sehingga mereka kecewa.

Tidak pernah ada dalam kesatuan atau jemaah yang sering melawan ketuanya, jemaah itu akan berjaya. Wala’ terhasil antaranya dari makmal usrah PAS. Melalui usrah, ahli PAS akan dapat kesatuan pemikiran. Menambahkan lagi kekuatan jemaah dengan kepercayaan penuh kepada pimpinan.

Taksub? Oh, bukan. Wala’ bukan taksub. Kita mempercayai pimpinan kita telah bermesyuarat, berbincang dan berfikir panjang tentang sesuatu isu. Maka keputusan diambil berdasarkan itu. Terdapat juga keputusan yang dibuat secara segera, tetapi semuanya tidak pernah melanggar hukum agama. Pernah dengar Presiden PAS menyuruh berjudi? Pernah dia galakkan berzina? Pernah dia haramkan solat?

Jika perkara asas Islam tidak pernah dia suruh kita langgar, maka perkara yang lain itu hanyalah perkara khilaf. Jadi insyaAllah tiada kesalahan jika kita tersalah mengikut keputusan yang khilaf. Lebih utama, PAS banyak mengeluarkan ijtihad politik. Ijtihad politik sangat luas. Sedikit hairan apabila mereka yang saban hari mencaci, menghina dan mengfitnah PAS, tidak pula digelar taksub? Langsung tiada kebaikan PAS, tidakkah itu juga satu bentuk ketaksuban?
Adakah taksub hanya untuk PAS?

Jika ianya hanya isu tersalah ijtihad. Salah dapat satu, betul dapat dua. Jadi boleh teruskan wala’ kita selagi pimpinan tidak mengaramkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Boleh juga berbeza pendapat tapi bukan terpekik terlolong merata-rata menyatakan bangkangan kita kepada pimpinan. Itu cara musuh, bukan kita.

Kita ada salurannya. Jika tidak bersetuju, gunakan saluran yang betul, bukan seperti mereka-mereka yang kecewa itu. Dan insyaAllah mereka yang melabelkan wala’ ahli PAS sebagai bodoh dan sebagainya, adalah orang yang tidak dapat membezakan antara mentaati pandangan ulamak dengan menyalahi hukum asas Islam dengan semberono.

Mereka istilahkan melawan keputusan pimpinan jemaah itu sebagai menegur kononnya. Kemudian mereka gembira apabila ada orang yang mengikut kata mereka. Selepas itu jika datang penegasan dari pimpinan dengan keputusan yang telah dibuat, mereka mengatakan bahawa pimpinan PAS tidak boleh menerima teguran. Mereka cuba mengaturkan jemaah kita mengikut acuan mereka. Lupakan….

Kesimpulan:

Ada tiga perkara jika berada di tangan tiga jenis manusia, maka ia akan menjadi sia-sia. Iaitu harta, jika ada di tangan orang bakhil, maka ia menjadi sia-sia kerana kedekut untuk bersedekah. Ilmu jika ada bersama dengan orang yang tidak mengamalkannya kerana ia tidak akan berkembang. Senjata jika berada di tangan si pengecut kerana dia akan lari dari perlawanan.

Lihatlah, ahli-ahli PAS, majoritinya tidak mensia-siakan tiga perkara ini. Harta mereka sedekahkan dengan banyaknya. Walaupun sedikit ilmu mereka akan cuba ajar dan amalkan. Senjata juga ahli PAS manafaatkan sepenuhnya tetapi bukanlah senjata perang kerana PAS bukan kumpulan militan. Senjata moden sekarang seperti ledakan teknologi dan banyak lagi.

PAS juga pernah digelar sebagai sesat. Tetapi sehingga kini tidak pernah dibuktikan kerana sememangnya PAS tidak sesat. Malah, berapa ramai pimpinan PAS mendapat pingat penghargaan seperti Dato’ dari sultan-sultan di Malaysia, diakui kepakaran dalam pelbagai bidang malah dijadikan rujukan.

Terang dan nyata, masakan tuanku sultan-sultan tidak tahu kesesatan PAS jika benar seperti yang didakwa musuh PAS? PAS sebenarnya menjalankan tanggungjawab mengikut al-Quran dan as-sunnah sedaya upaya walaupun ada ketikanya tidak sempurna, itu biasa. Pimpinan PAS bukan nabi.

PAS ada kekuatan dan kelemahan sendiri. Tetapi tidaklah kelemahan itu merebahkan PAS. Musuh sentiasa menikam pada tempat yang mereka katakan lemah itu. Tetapi alhamdulillah, musuh samada luar atau dalam, sebaliknya merekalah yang kecewa untuk melihat PAS tewas.

Sejujurnya tidak akan ada kesempurnaan bagi manusia. Ahli PAS yang mendakwa PAS adalah jemaah Islam yang sempurna, mereka telah tersilap. Tetapi mereka yang membenci PAS dengan mengatakan PAS tidak menyumbang apa-apa atau sepatutnya menjadi sempurna mengikut acuan mereka, adalah golongan dungu yang tiada penghujungnya. Dungu yang infiniti kata orang matematik.

Masih ingatkah bagaimana bekas Mursyidul Am PAS, almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang datang dengan plastik air kencing ke mesyuarat Majlis Syura Ulamak diakhir hayatnya. Pengganti beliau Dr Haron Din pula hadir mesyuarat dengan tong oksigen bersama beliau. Ustaz Harun Taib berkerusi roda ke sana ke mari berprogram selepas terkena stroke.

Ustaz Hashim Jasin, Mursyidul Am sekarang pula, tetap mengagahkan dirinya yang uzur bagi memenuhi undangan program PAS sana sini. Inilah semangat yang perlu ahli PAS contohi. Berjuang hingga akhir hayat demi Islam, biarpun kecil. Bukan melayan segala cacian, perlian, tohmahan, fitnah yang sememangnya sengaja dilempar musuh.

Jadi, sama-samalah kita memahami kenapa jemaah PAS adalah yang terbaik setakat ini. Terlalu banyak yang PAS ‘ADA’. Tinggal lagi ahli dan penyokong PAS sedar atau tidak keberadaan itu. Kita turun ke medan, bukan hanya bersembang. Kita lakukan yang terdaya walaupun sikit dan bukan tinggalkan kerja kebajikan. Kita melihat kita akan mati, maka kita persiapkan diri kita.

Cuma ahli PAS perlu sedar, dalam menggalas tugas sebagai pejuang Islam melalui PAS, mereka seharusnya membetulkan perkara-perkara asas dari dalam diri mereka sentiasa. Sebagaimana ungkapan allahyarham Ustaz Abu Bakar Chik, PAS mahu mendirikan Islam di seluruh dunia. Tetapi Islam mesti ditegakkan dari dalam diri kita dahulu, kemudian kepada keluarga, masyarakat, negara dan akhirnya dunia.

Jangan kita terlalu taksub dengan mengatakan PAS tiada cacat celanya. Jangan kita menghina kumpulan lain dengan keterlaluan. Kerana jika kita juga sama-sama mereka berlumpur dengan fitnah, maka apa yang tinggal untuk membezakan kita yang mengaku sebagai pejuang Islam dengan mereka? Lengkapkan diri kita dengan ilmu, kemudian laksanakan tugas untuk Islam melalui PAS dengan seikhlasnya. Inilah cara PAS. Tak kenal, maka tak cinta.

Kita ada kerja yang sangat besar iaitu memikul amanah sebagai khalifah di bumi Allah dan akan menjawab persoalan dari Allah di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya kita mahu bawa semua orang ke jalan Allah. Kekalkan diri kita dalam acuan dan kehendak Islam, semoga PAS akan terus berjaya sebagai satu jemaah Islam, hasil bantuan anda yang takutkan Allah.

Saya tahu, faham apa yang PAS ‘ADA’. Oleh itu saya bersama PAS. Saya tidak bersama PAS tanpa maklumat. Anda bagaimana? Wallahua’lam.

Mohd Nasir Abdullah
Bukit Payong Marang
12 Jan 2017