90 Pelajar Pasti Terima Sumbangan Raya

357

Oleh : Ariff Zakaria

BESUT – Seramai 90 orang pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dari 20 buah Pasti terpilih dari kalangan anak yatim serta fakir miskin diraikan dengan baju raya baharu.

Para pelajar berkenaan dibawa ke sebuah Pasaraya di Jertih beramai-ramai bersama guru dan keluarganya bagi membeli pakaian raya.

Suasana riuh rendah cukup menggembirakan anak-anak Pasti memilih pakaian hari raya percuma di bawah kelolaan Pasti Kawasan Besut.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata sumbangan berupa pakaian dan duit raya adalah tanda penghargaan kepada para pelajar Pasti.

Ia juga, katanya sebagai satu motivasi untuk menanam rasa kasih dan kecintaan terhadap pendidikan yang berteraskan Islam.

“Saya kira orientasi Pasti ini sangat memberi ‘bekas’ (kesan) kepada pelajar-pelajar bukan sahaja di kawasan Besut malah di seluruh negara.

“Alhamdulillah, PAS semakin berkembang melalui bidang pendidikan. Tahun ini adalah tahun ke dua kita menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Furqan (SRIFAF ) sebagai tawaran kepada masyarakat yang mengharapkan pembentukan anak-anak melalui acuan pendidikan Islam.

“Semoga iltizam yang diberi akan membugarkan lagi proses pembentukan generasi al-Quran di kawasan Besut ini,” ujarnya ketika meraikan 90 pelajar Pasti Shooping Baju Raya di Pasaraya Zon Ria, Jertih, Besut pada 18 Jun lalu.

Ustaz Wan Azhar turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak pengurusan Pasti, guru-guru serta ibubapa yang sama-sama menggarap suatu komitmen padu membangunkan pendidikan Islam ini.

Sehingga, katanya masyarakat yakin dan memilih institusi Pasti bagi membuktikan Islam boleh membentuk generasi masa hadapan.

“Inilah sumbangan besar PAS yang amat bermakna untuk negara dalam bidang pendidikan bagi melahirkan rakyat yang kehidupannya seimbang di antara duniawi dan ukhrawi,” ujarnya.