5900 Lot Tanah, Umno Cuba Menipu Rakyat, Tiru PAS?

661

(Gambar – Manifesto awal PAS Perengganu untuk PRU14 telah menggerunkan Umno yang memaksa parti itu tiba-tiba berjanji akan membuka permohonan tanah)

Umno janji manis PRU14 telah ditabur oleh Umno yang berselindung disebalik nama kerajaan Terengganu dengan mengumumkan membuka permohonan bagi 5900 lot tanah kosong untuk pembinaan rumah kediaman. Ianya sangat menghairankan kenapa setiap kali PRU akan ada janji-janji menggunakan nama kerajaan yang mana wang dan keseluruhan harta itu sebenarnya milik rakyat, tetapi hanya diuruskan oleh Umno. Kerana jika kerajaan bertukar sekalipun, kerajaan yang lain pula yang akan menguruskan amanah ini.

Lebih memualkan ialah Umno yang berselindung di sebalik nama kerajaaan inilah yang telah merampas kembali pemberian tanah-tanah TOL kepada rakyat oleh kerajaan pimpinan PAS tahun 1999-2004 dahulu tanpa belas ihsan serta sanggup merobohkan bukan sahaja rumah rakyat yang sedang dibina dengan wang titik peluh mereka. Malah lebih zalim, kejam dan jahil, Umno atas nama kerajaan, turut meruntuhkan Masjid Bujal di Kijal.

Saya yakin rakyat Terengganu sedar dengan gula-gula beracun Umno ini kerana PAS yang mengamalkan politik Islam, telah membuktikan pada era pemerintahan PAS di Terengganu, kira-kira 60 ribu permohonan tanah telah diluluskan bagi diagihkan kepada rakyat Terengganu. Tidak cukup dengan jurukur kerajaan, dilantik pula dari kalangan swasta sehinggakan mendebarkan Umno kerana rakyat beroleh kesenangan. PAS mengotakan janji bukan sahaja atas manifesto yang dibuat sebelum PRU ketika itu, malah turut meluluskan permohonan yang Umno janjikan (setelah banyak kali mengugut rakyat) mahu diluluskan kepada rakyat, tanpa PAS menunggu hampir PRU untuk berbuat demikian. Jumlah yang Umno janjikan ini (belum tentu ditunaikan) hanya 10% dari keseluruhan kelulusan oleh kerajaan pimpinan PAS ketika itu.

Paling menggembirakan rakyat ialah pemberian itu bersekali dengan geran kekal bagi yang sempat diberikan. Sehinggakan gambar pemberian geran kepada salah seorang rakyat Terengganu di Dungun, turut digunakan dalam kempen Umno, untuk mengaburi mata rakyat bahawa merekalah yang mengurniakan geran tanah itu. Dasar Umno sememangnya tidak tahu malu. Dan sekarang setelah Umno merampas kembali tanah-tanah TOL yang belum sempat dikurniakan geran dahulu oleh kerajaan pimpinan PAS ketika itu kepada rakyat, mereka datang lagi dengan pisau, lembing dan tombak di belakang mereka sambil sebelah tangan dihulurkan kepada rakyat dengan janji-janji palsu pemberian tanah.

Percayalah rakyat Terengganu, setelah rumah flat di Ladang yang dijanjikan diberikan secara sewa beli, kemudian ditukar status sewa, flat di Padang Hiliran yang diugut supaya dimenangkan dahulu Umno di Kuala Terengganu serta flat rakyat yang Umno rancang didirikan di Bukit Nenas Tepoh, mereka pasti akan menggunakan hal ini sebagai modal besar untuk memperbodohkan rakyat Terengganu. Penerimanya pastilah sebahagian penyokong mereka sahaja walaupun mereka juga menunggu bertahun-tahun sambil dibodohkan Umno. Cukuplah, sedarlah rakyat Terengganu akan gula-gula beracun yang diberikan Umno setiap kali PRU, akan memusnahkan negeri Terengganu ini kerana apabila mendapat kembali kuasa, maka Umno akan menggila semula membolot hasil bumi Terengganu sebagaimana yang berlaku masa lalu dan sekarang ini.

Sangat jelas ketakutan Umno kerana meniru bulat-bulat antara manifesto awal yang ditawarkan oleh PAS Terengganu. PAS Terengganu yang sangat masak dengan tipu helah Umno, menyeru kepada semua lapisan masyarakat yang menepati syarat-syarat yang diumumkan YAB Menteri Besar dan tidak lupa kepada rakyat yang pernah Umno rampas tanah mereka dahulu, untuk ramai-ramai segera pergi ke Pejabat Tanah di seluruh Terengganu bagi memastikan sendiri bagaimana permainan Umno ini. Ketika itu insyaAllah rakyat akan dapat menilai parti mana yang suka meniru dan menipu seperti Umno dan parti yang mengotakan janji seperti PAS untuk dilantik menjadi kerajaan Terengganu dalam PRU nanti. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
Rabu 11 Syawwal 1438/ 5 Julai 2017