BuletinOnline

Media Informasi Terkini

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita62/selamat%20ramadhan1.jpg

 

Sat08302014

Last update05:06:46 PM GMT

Back Artikel Pendapat Nasihat Untuk Adik Muhamad Hasyim

Nasihat Untuk Adik Muhamad Hasyim

  • PDF

Doa kami pohonkan kehadhrat Allah semoga adik sekeluarga dan 8 lagi teman-teman di Mesir yang menjadi mangsa kerakusan dan kedangkalan politik pemimpin Umno sentiasa dirahmati Allah.


Adik Muhamad Hasyim,

Setiap mereka yang ingin memperjuangkan kebenaran pasti akan diuji, kita perlu lalui dengan keyakinan bahawa kita bukanlah orang yang pertama diuji dan ujian untuk kita bukanlah yang paling berat untuk dihadapi. Allah telah memilih adik untuk diuji diawal usia lagi. Tentunya Allah tidak akan menguji seseorang hambanya melainkan Allah akan mengurniakan ganjaran pahala bagi sesiapa yang sabar.

Adik Muhamad Hasyim,

Menuntut dalam ilmu perubatan, apatah lagi di sebuah universiti terkenal di luar negara adalah impian kebanyakkan pelajar, tapi tak semua mampu menjejakinya. Bersyukurlah kerana adik adalah salah seorang yang terpilih dari kelompok yang terpilih. Tentunya ianya bukan dicapai dengan secara percuma tanpa usaha gigih yang luar biasa.

Saya meyakini adik seorang yang memiliki mentaliti, sakhsiah dan ketahanan yang kuat untuk sampai ke sini dan berjaya keluar nanti untuk bergelar doktor. Kriteria inilah yang perlu dipertahankan supaya kita boleh tampil ke dalam masyarakat kelak sebagai insan yang hebat dan mampu menyumbangkan bakti. Jalan di hadapan adik masih terlalu jauh untuk dilalui.

Apa yang adik lalui sekarang adalah sebahagian dari pengalaman mahal yang juga pernah saya lalui sebagai penuntut perubatan di negara orang.

Ketika melangkah meninggalkan tanahair, keluarga dan perjuangan untuk sementara waktu pada September 1993, saya sudah sedia maklumi, negara yang akan dituju, Iraq adalah sebuah negara bergolak yang sedang berhadapan dengan sekatan ekonomi PBB ekoran penaklukan Iraq terhadap Kuwait pada 1991. 

Lantaran itu, saya tidak pernah mengimpikan suasana pembelajaran yang penuh kemewahan dan kemodenan tapi impian saya untuk mengaut dan membawa pulang semaksima mungkin ilmu dari bumi yang pernah menjadi pusat penyebaran ilmu di zaman keagungan Khilafah Abbasiyyah.

Sayunya pandangan Ayahanda ketika saya melangkah menuju Balai Berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ketika itu menyuntik suatu semangat, walau apa pun yang terjadi, saya tidak akan pulang sehingga saya mampu mempersembahkan kejayaan untuk mereka yang menyayangi dan mendoakan kejayaan saya. Memang semenjak hari itu, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah air selama 6 tahun sehinggalah berjaya pulang dengan ijazah pada tahun 1999.

Mustahil ada orang yang tidak ingin kembali menjenguk keluarga terutamanya dimusim cuti panjang, tambahan pula saya bukanlah Imam Syafie yang telah diberikan syarat oleh ibunya ketika pergi merantau untuk menuntut ilmu, “jangan balik wahai anakku selagi kamu tidak menjadi seorang alim!” tetapi ketidak mampuan kewangan menyebabkan saya sentiasa memujuk diri untuk bersabar setiap kali melihat teman-teman senegara pulang untuk bercuti.

Belajar dengan biasiswa FAMA (Father and Mother) tambahan pula ‘FAMA’ saya bukanlah orang berada, sekadar memiliki sebidang tanah dan kudrat empat kerat, tetapi dengan semangat seorang anak desa yang bercita-cita tinggi saya mengambil sikap pergi dulu walaupun ramai yang menentang dan apa nak jadi, jadilah... kepada Allah tempat berserah. Kalau ulat dalam batu boleh hidup, tak kanlah saya yang berakal fikiran tak boleh hidup. Itulah keyakinan saya walaupun bunyinya sedikit angkuh tapi angkuhnya cuma untuk merangsang potensi diri saya sendiri.

Baghdad bukanlah sebagaimana Mesir dengan berbelas ribu anak Malaysia di sana. Di sini bilangan rakyat Malaysia cuma boleh dibilang jari tambahan pula saya satu-satunya anak Malaysia malah satu-satunya pelajar bukan berbangsa Arab di Kuliah Perubatan dan Pergigian, Universiti Baghdad. Pelajar lain kebanyakkannya dari Palestin, Jordan, Yaman, Eriteria, Sudan, Syria, Mauritania di samping pelajar tempatan Iraq.

Bukan mudah menyesuaikan diri di tengah-tengah suasana yang begitu asing seorang diri, manusia-manusia asing, bahasa pertuturan yang sukar difahami, pensyarah-pensyarah yang sukar diajak berkomunikasi kerana masalah bahasa serta keadaan sosio-ekonomi masyarakat yang tertekan ekoran sekatan ekonomi PBB.

Walaupun mempunyai asas bahasa Arab yang agak kukuh bekalan dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, nyata ianya sekadar bekalan yang terlalu nipis, bahasa Arab tempatan Iraq terlalu jauh lenggok dan bunyinya daripada Arab standard.

Di bulan-bulan pertama pengajian, saya pastikan dapat hadir ke dewan kuliah pada awal pagi, mengambil tempat di barisan paling hadapan tetapi nyata tidak mencukupi untuk saya memahami pengajian. Pulangnya diwaktu petang dengan rasa kesal dan terbuku di hati. Walaupun dikatakan Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar pengajian tetapi sebenarnya kuliah dan segala medium pengajian tetap menggunakan bahasa Arab, lebih perit lagi Arab Iraq, bukannya standard Arabic. 

Rakan-rakan sekuliah yang lain, penguasaan bahasa Inggeris mereka terlalu minima, tak banyak mereka mampu membantu, malah mereka yang mengharapkan bantuan saya sedangkan saya sendiri hampir-hampir terfikir untuk mengalah dengan keadaan.

Tapi kalau sekali kita rela berada di pihak yang kalah dengan keadaan, kita tidak akan belajar untuk menjadi insan yang cekal dan berjiwa luar biasa. Sekali melangkah tiada lagi istilah undur. Inilah kata-kata perangsang yang selalu dibisikkan untuk diri sendiri.

Berada di dalam lingkungan masyarakat Iraq yang meraikan kehadiran kita sebagai saudara seagama, saya cuba hadir di kalangan mereka sebagai insan dengan berbentengkan akhlak dan keperibadian mulia, akhirnya kita rasa disayangi dan disenangi baik di kuliah atau pun di dalam masyarakat di persekitaran rumah sewa. Pergaulan mesra dengan masyarakat ini menjadikan saya mampu menguasai Bahasa Arab gaya Iraqi dengan begitu cepat sekali malah kata mereka saya telah menjadi ‘lebih Iraq dari Iraq’.

Keterbatasan kewangan pula menyebabkan saya hanya mampu menyewa rumah flat kecil serta uzur yang terletak di kawasan Pasar Adhamiya seorang diri, kawasan penempatan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tapi masih berpegang dengan nilai agama yang tinggi.

Berulang-alik ke Kuliah dengan jarak kira-kira 5 km setiap hari dengan menaiki mini bas yang dipanggil coaster suatu kenangan menarik. Mini bas milik Kementerian Pengangkutan Iraq ini cuma mengenakan tambang sekitar 5 sen sekali naik, tak kira nak turun di mana pun di sepanjang laluannya. Sangat sesuai untuk golongan berpendapatan rendah seperti anggota tentera dan para buruh kasar. Saya tidak terkecuali termasuk antara mereka yang tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan teksi yang jauh lebih selesa.  Coaster pun kira o.k. yang penting sampai.

Diwaktu awal pagi, sesaknya usah dicerita lagi. Kalau mampu berdiri dengan dua kaki sudah dikira sangat selesa. Kerapnya cuma ada ruang untuk berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Bau badan dan pakaian anggota-anggota tentera yang sudah beberapa hari tak mandi ditambah lagi dengan buruh-buruh kasar usah digambarkan lagi. Sangat ‘wangi’!

Jarak perhentian bas dengan kuliah pengajian saya kira-kira 1 km. Menjadi kelaziman saya menapak 2 km setiap hari pergi dan balik. Kata orang Iraq, menaiki ‘Renault 11’. Mulanya saya tak berapa faham kerana yang saya tahu, model kereta ‘Renault 12’. Rupanya Renault 11 adalah istilah untuk 2 batang kaki yang digunakan untuk berjalan. Musim sejuk, menapak dalam kesejukan yang mencengkam, musim panas, menapak di bawah terik panas matahari...

Tapi kita perlu kuat wahai adikku kerana kecemerlangan dan kegemilangan adalah milik bagi mereka yang tabah.

Adik Muhamad Hasyim… kadang-kadang apabila wang belanja dari keluarga lewat diterima, biasa saya melangkah dengan kaki longlai disebabkan perut yang kosong ke kuliah. Di waktu-waktu sukar sebegini, saya tidak malu untuk menerima sekeping roti arab yang dihulurkan oleh hamba-hamba Allah yang mengagihkan sumbangan kebajikan di masjid setiap kali selepas solat. Roti inilah yang dibawa pulang, dicicah dengan air sejuk sebagai teman pengalas perut untuk mentelaah pelajaran. Saya yakin, kalau ada pun kesukaran, Adik Hasyim tidak pernah melalui kesukaran sampai ke tahap ini.

Paling menguji kesabaran apabila musim panas, bekalan elektrik kerap terputus akibat ketidak cukupan bekalan lantaran banyak stesen janakuasa elektrik yang rosak ketika Perang Teluk. Sekatan ekonomi dan sekatan eksport minyak yang dikenakan ke atas Iraq tidak memungkinkan mereka membaik pulih semua kerosakkan yang berlaku. Iraq hanya mempunyai satu Janakuasa Hidroelektrik yang dinamakan Sadd (empangan) Saddam di Mosul yang terletak di bahagian utara Iraq. Lainnya adalah janakuasa menggunakan tenaga minyak.

Penggunaan melampau pendingin udara dimusim panas menyebabkan ketidak cukupan bekalan elektrik dan hasilnya ia perlu dicatu. Bekalan elektrik biasanya terputus (sebenarnya diputuskan) sekitar dua atau tiga kali sehari dengan setiap satu sessi memakan masa dua atau tiga jam. Bayangkan betapa ‘selesanya’ berada di dalam rumah dengan suhu melebihi 45°C tanpa pendingin udara. Panasnya bagaikan berada dalam tempat pembakar bata tanah liat! Perlu dimaklumi, musim panas mula memuncak menjelang bulan Jun, Julai dan Ogos. Jun pula adalah waktu peperiksaan akhir tahun di university.

Kondisi umum di Iraq pun bukannya aman wahai adikku. Kesempitan hidup rakyat lantaran peperangan dan sekatan PBB melonjakkan kadar jenayah dengan mendadak. Ditambah lagi apabila hampir setiap tahun sepanjang tempoh sekatan ekonomi, dengan pelbagai alasan, bumi Iraq sentiasa dihujani bom dan peluru berpandu US, paling tragis, hospital di mana tempat saya sedang menjalani latihan praktikal turut menjadi mangsa pengeboman pada 1998.

Apa yang saya coretkan di sini sekadar sedikit perkongsian ikhlas, secebis catatan pengalaman dengan besar harapan agar Adik  Hasyim dapat meluangkan masa seketika merenunginya.

Saya mengucapkan syabas di atas keberanian adik untuk bersama-sama dengan sekelian ramai ratusan ribu lagi pencinta keadilan di seluruh dunia pada tarikh keramat 9 Julai 2011 lalu walaupun apa yang teman-teman dihadapi di bumi Mesir hanya sekelumit dari apa yang kami hadapi di tanahair. Air kimia, gas pemedih mata, sepak terajang dan maki hamun FRU, dibelasah sehingga patah riot dan luka parah serta pelbagai lagi, tetapi amat menakjubkan kerana sehingga sekarang kita belum pernah mendengar kenyataan dari seorang pun mangsa keganasan polis yang mengeluarkan kenyataan, menyatakan kekesalan kerana turut serta terlibat dalam himpunan BERSIH yang sia-sia kecuali dari Adik Muhamad Hasyim!

Apatah lagi BERSIH yang disertai oleh adik dan teman-teman di Mesir telah diistiharkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu sebagai bukan pertubuhan haram. Lantas adik tidak perlu menyesal kerana yang turut adik ‘perjuangkan’ adalah tuntutan-tuntutan yang bakal menentukan hala tuju negara tercinta di mana adik akan balik berkhidmat sebagai seorang yang menyandang gelaran doktor, suatu posisi terpandang dalam masyarakat. Wahai adikku… ianya bukan suatu kerja sia-sia, kalaulah benar adik berkata begitu sebagaimana yang dilaporkan oleh media.

Dengan mengeluarkan kenyataan sebegini, adik sebenarnya telah merendahkan reputasi dan mentaliti diri adik sendiri  serta menongkah arus gelombang yang sedang melanda negara sekarang. Sebenarnya, bukan setakat saya, malah sekelian pencinta keadilan, semuanya bersimpati dengan kezaliman Umno dalam menafikan hak adik dan 8 lagi teman-teman dalam menggunakan kuasa yang ada di tangan untuk meragut secara kejam wang pinjaman para penuntut ilmu seolah-olah wang tersebut adalah milik mak bapak Umno! Persetankan mereka yang tidak sehaluan dengan Umno! Yang salah, zalim, kejam, menindas dan tamak kuasa adalah Umno wahai adikku. Bukannya BERSIH.

Simpati kami di tanahair bukan setakat dengan luahan kata-kata sahaja. Bukan untuk mengungkit tapi sekadar membangkit, di tengah panas terik mentari kami berdemonstrasi demi membela adik dan teman-teman, mimbar Jumaat dijadikan medan untuk mendedahkan kerakusan tindakan pimpinan Umno ini, kutipan derma dilancarkan di segenap pelusuk negeri serta rombongan pimpinan PAS negeri telah bertentang mata menemui Pengarah Yayasan Terengganu.

Tentunya sumbangan yang kami hulurkan tidak mencapai angka ratusan ribu ringgit sebagaimana yang disalurkan oleh Yayasan Terengganu kepada adik. Tapi kebenaran adalah tetap kebenaran, walaupun adik menafikan ada menerima apa-apa sumbangan dari mana-mana pihak. Sebagai bakal doktor, adik perlu lebih berhati-hati dalam berkata-kata kerana sebaris ungkapan yang keluar dari mulut kita, kesannya besar kepada orang lain dan reputasi adik sendiri.

Saya sangat memahami tekanan yang adik hadapi ekoran penamatan pinjaman ini kerana saya sendiri pernah belajar tanpa sebarang pinjaman dan bantuan kewangan dari mana-mana pihak kecuali FAMA saya yang tercinta. Tapi dengan izin Allah, saya berjaya balik sebagai seorang doktor, menyambung pengajian diperingkat sarjana, pernah berkhidmat sebagai pensyarah universiti dan sekarang memiliki klinik sendiri. Ramai lagi orang lain yang lebih berjaya dari saya, cubalah damping dan korek kisah mereka, semoga ianya boleh menjadi motovasi untuk adik.

Anggaplah saya sebagai seorang abang yang tulus memberikan nasihat. Berpeganglah dengan kebenaran sekalipun ianya pahit. Tekanan dan cabaran jangan sekali-kali dibiarkan mengaburi hakikat. Untuk berjaya kita perlu memiliki ketabahan diri yang luar biasa.  

Apatah lagi kalau adik boleh memahami, BERSIH bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan dan revolusi, tapi tuntutan kita adalah demi mempastikan pilihanraya dilangsungkan di atas padang yang sama rata. Di atas padang yang sama rata itulah, dengan izin Allah Umno/BN adak kita tumbangkan.

Akhirnya selamat berjaya untuk adik dan teman-teman seperjuangan semua. Malah, sekiranya Umno terus berdegil dan menolak untuk mengembalikan pinjaman, ianya dengan izin Allah akan menjadi agenda awal Kerajaan Pas Terengganu pasca PRU 13 nanti.

*** Dr Azman Ibrahim  adalah Pengamal Pergigian Persendirian yang juga Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu

 

Komen:

Last Updated on Tuesday, 07 August 2012 06:10