KAHERAH – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama rombongannya meneruskan lawatannya di negara Mesir dengan mengunjungi beberapa orang pemimpin dan bekas pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin.
Ustaz Hadi telah dihadiahkan sekeping potret as-Syahid Hassan al-Banna oleh anaknya, Ustaz SaifulIslam sewaktu mengunjungi beliau dirumahnya ditengah-tengah bandaraya Keaherah disini pada petang Rabu 11 Julai.
“Ustaz SaifulIslam, sebagai penghargaan telah menghadiahkan sekeping potret ayahandanya, as-Syahid al-Ustaz Hassan al-Banna, sebagai tanda penghargaan kepada Presiden PAS,”lapor Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi .
Menurut Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi yang turut sama dalam lawatan tersebut, Ustaz Saifulislam adalah anak bongsu kepada Al-Imam As-Syahid Hasan Albanna, pengasas Gerakan Ikhwan Muslimun.
Ustaz SaifulIslam juga merupakan salah seorang pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimun pada era 80 an sebelum berundur kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Ketika dikunjungi, Ustaz Saifulislam sempat mengimbas kembali lawatannya ke Malaysia iaitu pada tahun 1986 menghadiri ketika Ijtima Antarabangsa Gerakan Islam yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Mengulas revolusi rakyat Mesir yang menggulingkan kerajaan regim Hosni Mubarak, Ustaz SaifulIslam berkata ketentuan Allah SWT adalah sangat menggagumkan kerana kata beliau, tarikh pengunduran Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir adalah tarikh yang sama ketika yahandanya Syahid ditembak tentera Mesir, iaitu pada tanggal 12 Februari 1949.
Dalam pertemuan itu, Ustaz SaifulIslam menegaskan bahawa kemenangan Parti Al-Hurriyyah Wa Al-‘Adalah (Parti Kebebasan dan Keadilan), sayap politik Ikhwan Muslimun adalah satu Tsunami kebangkitan Gerakan Islam.
“Kemenangan di Mesir adalah Tsunami kebangkitan Gerakan Islam, ia akan membawa perubahan ke seluruh pelusuk dunia Islam khususnya Malaysia,”kata Ustaz SaifulIslam sebagaimana dilaporkan Ustaz Khalil.
Sebelum itu, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dan rombongan mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Muhammad Al-Bade’, Mursyid Am Ikhwan Muslimun di pejabatnya di Kaherah (gambar bawah).
Kedua-dua pimpinan ini sempat bertukar pandangan dan merakamkan penghargaan kepada Parti Al-Hurriyyah wa Al-‘Adalah di atas kejayaannya dalam pilihanraya baru-baru ini dan juga kemenangan calonnya Muhammad Mursi sebagai Presiden Mesir.
Komen:









