BuletinOnline

Media Informasi Terkini

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita62/selamat%20ramadhan1.jpg

 

Sat05252013

Last update05:06:46 PM GMT

Back Berita Nasional Sujud Syukur Mengiringi Kemenangan Azman dan Suwandi

Sujud Syukur Mengiringi Kemenangan Azman dan Suwandi

  • PDF

KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu merakamkan ucapan tahniah kepada semua mangsa pertuduhan dan tembakan polis dalam tregedi di Batu Burok, pada 8 September 2007 kira-kira hampir lima tahun lalu dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.


Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali yang mewakili pimpinan PAS Terengganu turut merakamkan ucapan tahniah dan bersyukur dengan keputusan membebaskan tertuduh berkenaan.

Katanya, pembebasan Azman, Suwandi dan dua yang lain merupakan berkat dari kesabaran, doa serta sokongan ahli dan penyokong PAS.

Menurutnya, perbicaraan selama hampir lima tahun itu memerlukan komitmen dan kesabaran serta istiqamah dalam perjuangan Islam.

“Kita (PAS) bersyukur dengan keputusan yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dan membebaskan mangsa yang dituduh, juga atas kesabaran penyokong-penyokong kita yang menghadiri perbicaraan hampir lima tahun.

“Doa mereka (ahli) tidak putus-putus hinggalah saat pembebasannya pada hari ini. Saya mewakili pimpinan PAS Terengganu merakamkan ucapan syukur dan tahniah atas kejayaan kita bersama, Insya’Allah,” jelasnya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, pada Isnin 4 Jun

Muhammad Azman Aziz, 26, dan Suwandi Ab. Ghani, 43, yang dituduh di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan dibebas dan dilepaskan setelah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan dalam pendakwaan tersebut.

Manakala, Hisham Aziz@Abdul, 43, dan A.Rahman Abdullah, 67, yang didakwa di bawah Sesyen 27(5)(a) Akta Polis turut dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu oleh Hakim Tuan Mohammad Khalid Haji Ab. Karim.

Peguambela tertuduh, Abdul Haris Abdul Malik menyifatkan pembebasan tertuduh Azman dan Suwandi kerana laporan forensik pihak pembela yang menyakinkan mahkamah bagi menolak pendakwaan kes.

Katanya, laporan forensik pihak pembela telah berjaya mengatasi laporan forensik yang disediakan pihak pendakwaan tersebut.

“Kes kita ini kuat pada peringkat pembelaan kerana Suwandi dan Azman ini mengikut laporan forensik menyokong kita dan mengatasi laporan forensik yang dibuat oleh pendakwaan.

“Itulah satu faktor yang kuat menyebabkan mereka (Azman dan Suwandi) dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah hari ini, Alhamdulillah,” tegasnya mewakili Tetuan Aziz & Co.

Menurutnya, terdapat tiga kes pertuduhan terhadap mangsa insiden tembakan polis di Batu Burok iaitu Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan kepada Azman dan Suwandi.

Manakala, katanya Seksyen 27(5)(a) Akta Polis yang dikenakan kepada Hisham Aziz@Abdul dan A.Rahman Abdullah turut dibebas dan dilepaskan mahkamah.

“Dia (kes) ada tiga pertuduhan iaitu Seksyen 149 Kanun Keseksaan, Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan kedua-duanya Suwandi dan Azman dibebas dan dilepaskan di akhir kes pembelaan.

“Kemudian, Seksyen 27(5)(a) Akta Polis yang sekarang telah dibatalkan juga dibebas dan dilepaskan terhadap Hisham Aziz@Abdul dan A.Rahman Abdullah.

“Alhamdulillah, mahkamah memutuskan ada keraguan di dalam kes pendakwaan. Kes ini memakan masa panjang dari tahun 2007 hingga 2012, sekitar lima tahun,” ujarnya

Sementara, sebaik sahaja keputusan pembebasan mangsa tragedi Batu Burok itu diputuskan seramai 30 orang termasuk empat orang tertuduh yang baru dibebaskan melakukan ‘sujud syukur’ di perkarangan lobi mahkamah berkenaan.

Hadir sama bagi memberi sokongan moral kepada mangsa tragedi Batu Burok, Setiausaha PAS kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Pemuda PAS Marang, Mohammad Khalil Abdul Hadi serta ramai lagi.

 

Komen:

Last Updated on Monday, 04 June 2012 21:15