BuletinOnline

Media Informasi Terkini

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita62/selamat%20ramadhan1.jpg

 

Thu08212014

Last update05:06:46 PM GMT

Back Arkib Artikel

Ramainya Pemimpin UMNO Amalkan Rasuah !

  • PDF
http://buletinonline.net/images/stories/berita/umnohutangposter.jpgKUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini dan Ampang, semalam, atas tuduhan empat menerima rasuah berjumlah RM220,000, dua tahun lalu.


Ahamad, 52, menghadapi tiga tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Ampang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM170,000 daripada pemilik syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid, sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja pembinaan jalan keluar-masuk 100 kaki, Taman Impian Ehsan, Balakong dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ufuk Rata Sdn Bhd, No 10A, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, jam 11.53 pagi, 26 Februari 2007.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima rasuah masing-masing RM20,000 dan RM5,000 daripada Azlan bagi tujuan sama di Pejabat UMNO Bahagian Ulu Langat, Tingkat 2, Bangunan UMNO, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, jam 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 dan 17 Ogos 2007.

Ahamad turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan alternatif bagi tuduhan kedua dan ketiga iaitu dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM20,000 milik UMNO bahagian Hulu Langat di Pejabat UMNO Bahagian Ulu Langat dan menyalahgunakan wang tunai RM5,000 milik UMNO di tempat dan waktu sama, pada 17 Ogos 2007.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela Akbardin Abdul Kadir bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana anak guamnya menanggung enam anak selain memberi kerjasama ketika siasatan.

Mahkamah kemudian menetapkan RM35,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac ini bagi sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Ahamad turut mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada Azlan dalam membuat bayaran kad kreditnya bagi tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, Jalan Tun Perak, 27 Februari 2007.

Hakim Rosbiahanin Arifin tidak memutuskan sebarang jaminan, sebaliknya membenarkan jaminan sama diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang dan menetapkan perbicaraan kes itu berjalan serentak di mahkamah berkenaan.

Naib ketua UMNO Beruas ditahan


IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak mengesahkan menahan Naib Ketua UMNO Bahagian Beruas, Azman Noh, malam kelmarin, kerana disyaki memberi rasuah ketika pemilihan bahagian itu, 12 Oktober tahun lalu.

Suruhanjaya itu juga tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa tangkapan susulan daripada penahanan Azman dan menunggu arahan daripada ibu pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata, Azman, 41, yang juga seorang kontraktor kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

“Penyiasatan kes berkenaan sudah selesai dan kita hanya menunggu arahan seterusnya daripada SPRM Putrajaya. Jadi, tidak mustahil kita akan melakukan tangkapan susulan.

“Ia bergantung kepada bentuk arahan yang diterima,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas penahanan Azman selepas pegawai SPRM negeri mengambil keterangan ahli politik itu di pejabat SPRM negeri, pada jam 11.30 malam kelmarin.

Semalam, akhbar melaporkan seorang Naib Ketua Bahagian UMNO di Perak dan dua ejen calon Ketua UMNO Bahagian, masing-masing di Pahang dan Melaka menjadi kumpulan pertama yang akan didakwa bersabit kes rasuah politik sejak SPRM beroperasi, 1 Januari lalu.

Menurut Kenyataan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kelmarin, Naib Ketua Bahagian Umno itu menghadapi tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seseorang ketika pemilihan peringkat bahagian sebagai dorongan untuk mengundinya bagi pertandingan jawatan berkenaan, Oktober lalu.

Ketiga-tiga mereka akan didakwa hari ini mengikut Seksyen 10(b) Akta SPRM 2008 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

“Kami terpaksa menahan dia (Azman) selepas alibi yang diberi memerlukan dia ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh sebelum menunggu hari pendakwaan (hari ini)," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Di KUANTAN, SPRM Pahang mengesahkan menahan seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah di negeri ini kerana disyaki menjadi ejen calon seorang ketua UMNO bahagian di negeri berkenaan, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan di sekolahnya di Raub kira-kira jam 2.15 petang sebelum dibawa ke pejabat cawangan suruhanjaya berkenaan.

Pengarah SPRM negeri, Sutinah Sutan, ketika dihubungi mengesahkan guru terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Dia dipercayai memberi rasuah RM200 kepada seseorang sebagai dorongan bagi mengundi calon ketua Umno bahagian pada pemilihan bahagian dua bulan lalu.

Di MELAKA, seorang ketua cawangan UMNO di bahagian Alor Gajah ditahan SPRM di rumahnya di Durian Tunggal, petang kelmarin, kerana disyaki menjadi ejen memberi rasuah ketika pemilihan jawatan ketua UMNO bahagian, November lalu.

Sumber memberitahu, ketua cawangan berusia 47 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin selepas keterangannya diambil pegawai SPRM, tengah hari semalam.

Beliau akan didakwa Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, pagi ini.


Ahli UMNO Bahagian Raub tak mengaku salah

KUALA LUMPUR: Seorang ahli UMNO Bahagian Raub yang juga seorang penolong kanan sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, pagi ini, atas dua tuduhan memberi rasuah berjumlah RM400, September lalu.

Tertuduh, Junaidi Hamid, 45, yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Tanjung Putus, Raub, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan.



K
etua UMNO Cawangan Panchor tak mengaku salah

MELAKA: Ketua UMNO Cawangan Panchor, Alor Gajah, Johari Ibrahim dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang perwakilan parti itu.

Johari, 46, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Alor Gajah dan bekerja sebagai kontraktor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan ke atasnya itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin kira-kira jam 9.10 pagi.

Beliau yang diwakili peguam Shamsul Iskandar Mohd Akin didakwa mengikut Sesyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Wong Poi Yoke.

Mengikut pertuduhan, Johari didakwa memberi wang sebanyak RM200 kepada Nadiah Roslan di pusat persidangan UMNO Bahagian Alor Gajah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, kira-kira jam 12 tengah hari sebagai dorongan untuk mengundi calon ketua bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Kadir Daud.

Pada pemilihan bagi jawatan berkenaan, Abdul Kadir yang juga bekas Naib Ketua Bahagian Alor Gajah menentang Exco kerajaan negeri merangkap bekas Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Pemilihan itu dimenangi Abdul Ghafaar.

Terdahulu, beliau yang memakai jaket hitam tiba di Kompleks Mahkamah Melaka kira-kira jam 8.30 pagi dengan tangan bergari sambil diiringi beberapa pegawai SPRM – Berita Online

Komen:

Last Updated on Friday, 23 January 2009 22:07